Showing posts with label Kenyataan Media. Show all posts
Showing posts with label Kenyataan Media. Show all posts

Monday, May 30, 2011

IC HARAM; usaha menidakkan kuasa rakyat sendiri


Saya segera bersetuju dengan kenyataan Tuan Haji Mohamad Sabu (Harakah 27-29 Mei 2011) bahawa sindrom pemberian kad pengenalan segera kepada rakyat asing untuk dimasukkan ke kawasan tenat BN adalah suatu tindakan menggadai negara. Malah ia merupakan suatu pengkhianatan tanahair yang tidak wajar diampunkan oleh rakyat yang sedar.

Sama ada rakyat Malaysia sedar atau tidak, membaca atau tidak, jahil atau pandai, mereka perlu diberikan penerangan berkenaan konsep pilihanraya yang menjamin pengekalan maruah tanah nusa bangsa. Memenangkan parti tertentu denganmenggunakan sokongan pihak luar seperti rakyat negara lain sebagai penentu politik dan siasah masa depan negara adalah agenda yang cukup bejat.

Gettell menegaskan negara adalah: komuniti yang bermastautin mendiami wilayah tertentu, menuntut dengan sah kemerdekaan dan mempunyai sebuah organisasi pemerintahan, dengan mencipta dan menjalankan hukum secara menyeluruh didalam sempadan negaranya. Negara tidak akan berdaulat jika keutuhannya diraih melalui undi dan sokongan rakyat luar.

Dalam sistem pilihan raya yang diamalkan di Malaysia, seseorang calon dipilih untuk mewakili penduduk-penduduk sesuatu bahagian pilihan raya di Parlimen (Pilihan Raya Umum) atau Dewan Undangan Negeri (Pilihan Raya Negeri). Di Malaysia, seseorang itu layak untuk mendaftar jika dia:- 1. warganegara Malaysia; 2. berumur tidak kurang daripada 21 tahun pada tarikh kelayakan; 3. seorang penduduk di mana-mana bahagian pilihan raya di Malaysia; dan 4. tidak hilang kelayakan. Akan tetapi jauh daripada itu, rakyat yang dibenarkan untuk memilih perlu diterapkan agar memahami peri penting undinya mencorak kemakmuran negara, kemerdekaan, keharmonian dan kedaulatan daripada dicemari anasir luar.

Dalam aspek siasah Islam, si pengundi perlu memahami tujuan membuang undi adalah untuk memastikan masa depan negara masih berada dalam lingkungan wilayah pentadbiran dan mengamalkan syariah serta syiar islam. Mereka perlu celik dan kenal mana calon yang adil, bermatlamat ke arah kebaikan serta mendokong keutuhan agama.

Pilihan raya adalah satu proses demokrasi di mana undian digunakan untuk memilih calon yang sesuai untuk mewakili rakyat di parlimen. Ia merupakan suatu mekanisme demokrasi untuk memilih calon yang sesuai untuk memenuhi jawatan-jawatan penggubal undang-undang, eksekutif, perundangan dan kerajaan tempatan. Di sisi syara', pilihan raya merupakan suatu bentuk aqad wakalah (perwakilan). Dan dalam peristiwa baiat 'Aqabah II, Rasulullah s.a.w. meminta 12 orang sebagai wakil dari 75 orang Madinah ketika itu yang dipilih oleh mereka sendiri. Riwayat ini juga menunjukkan bahawa Rasulullah s.a.w. melakukan proses perwakilan (wakalah). Dengan demikian, hukum asal wakalah dalam syariat Islam adalah harus (boleh).

Golongan Ahlul Sunnah dan jumhur ulama berpendapat bahawa ketua negara hendaklah dipilih secara pilihan raya. Pemilihan khalifah merupakan ikatan kontrak di antara khalifah dan umat. Justeru itu, istilah yang dipakai dalam kontrak ini dinamakan “Bai‘ah”. Jika zaman Rasulullah, baiah mudah diperolehi lantaran penduduk Madinah menyerah urusna pemilihan kepada ahli halli wal aqdi yang adil iaitu sahabat Nabi yang tersohor, zaman terkemudin menyaksikan pemilihan ketua negara Islam lebih kompleks dan akhirnya pilihanraya demokrasi ala Barat diterima pakai kerana ia mendekati kaedah pemilihan kepimpinan zaman Rasulullah. Kerencaman pemikiran rakyat, fertiliti yang semakin meningkat, umat Islam yang pelbagai bangsa dan budaya menghendaki sistem pilihanraya mengantikan undi baiah secara ahli halli wal aqdi yang terhad kepada beberapa orang sahaja zaman Rasulullah.

Berdasarkan hal ini, kedaulatan Khalifah adalah didapati daripada rakyat, rakyat merupakan sumber kekuasaan yang sebenar dan ikatan di antara rakyat dengan ketua negara adalah ikatan sosial. Justeru itu, Dr. Yusof Al Qardhawi menyatakan bahawa sistem pilihan raya pada pandangan Islam adalah suatu kesaksian (syahadah) terhadap keletakan seseorang calon yang bakal dan akan dipilih.

Namun hal ini tidak bermakna jika politikus yang gilakan kuasa sanggup meremehkan urusan kewarganegaraan, memberi lesen kuasa undi kepada sesiapa sahaja yang sanggup membuta tuli mengundi mereka, yang akhirnya akan menghasilkan parti pemerintah yang menang dari aspek kertas undi tetapi kalah dalam perleksanaan mandat negara kerana rakyat tidak lagi menyokong mereka. Dalam erti kata lain mereka memerintah dalam situasi ‘syok sendiri’. Adakah ia suatu kenikmatan hidup yang mereka kejari?

Dahulu Hasnar Ebrahim pernah ditahan ISA pada tahun 1980an kerana mendedahkan bahawa beliau pernah bermesyuarat bersama Megat Junid, dan wakil Jabatan Pendaftaran Negara membincangkan kaedah pemberian IC kepada pendatang di sabah. Lantaran itu sebarang retorik BN bahawa mereka sedang menyelesaikan isu pendatang haram adalah dusta malah hipokrit kerana Projek IC segera di Sabah jelas direstui oleh Mahathir.

Selepas kes IC palsu dilaporkan sekitar 1990an, 17 kakitangan JPN termasuk Jabar Khan ditahan ISA juga sebagai satu cara kambing hitam tindakan Mahathir.

Gempar juga apabila seorang buruh Indonesia yang menunggu kad pengenalan selama 30 tahun mendedahkan bahawa beliau diminta menyokong BN jika inginkan kad pengenalan biru. Malah beliau diminta mengundi bukan di alamat tetapnya di Lembah kelang sebaliknya di Johor untuk memantu kawasan BN.

Kini didedah pula hal sepucuk surat yang dihantar oleh Umno Bahagian Hulu Selangor kepada Menteri Dalam Negeri, Hishamuddin Hussein bertarikh 23 Mac 2011 menyatakan jika ingin mengekalkan kerusi parlimen tersebut, Umno bahagian meminta "jasa baik" menteri supaya membawa masuk "bakal pengundi" terutamanya pemastautin tetap (PR - Permanent Resident) sebanyak 2,000 orang.

Jika Machiavelli masih hidup, beliau juga akan mengutuk tindakan kerajaan sebegini kerana Machiavelli cukup benci kepada pemerintah yang berjaya atas bantuan tentera upahan, tentera rakyat asing serta bergantung kepada para menteri yang hanya pandai mengampu.

Rakyat perlu disedarkan bahawa mereka kini tiada lagi nilai di mata BN kerana rakyat asing akan menggantikan rakyat Malaysia sebagai penyokong dan pengundi BN.

Beri IC kepada warga asing jelas suatu tindakan menghina rakyat sendiri, menidakkan kuasa undi rakyat sendiri.

Muhammad Nuruddin Bashah

Ketua Penerangan DPPK Gopeng 2011

Tuesday, May 3, 2011

Kecam kebiadaban MCA dan perkauman PERKASA

Kecam kebiadaban MCA dan perkauman PERKASA

Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek memberi pengakuan akan mengundi PKR jika parti tersebut menggugurkan hak istimewa orang Melayu dalam Perlembagaan Malaysia.

Perdana Menteri cuba mengalih isu yang sedang melanda BN dengan rakan komponen BN mengenai isu 1Melayu 1Bumi telah menimbulkan kemarahan MCA. Isu 1 Melayu 1 Bumi dilahirkan hasil semangat perkauman Utusan dengan NGO melayu ekstrim bernama Perkasa.

Lantaran kesal dengan sikap kaum Cina dan pribumi mengundi DAP di Sarawak menyebabkan kaum rasis melayu dalam Utusan dan Perkasa meraung menyeru kaum melayu bersatu menghadapi kesatuan kaum Cina di Sarawak.

Utusan dan Perkasa buta statistic dan daftar undi kerana yang memenanagkan DAP bukan kaum Cina di Sarawak tetapi kaum bumiputera yang sudah muak makan hasil rasuah BN di Sarawak. Jika kaum Cina Sarawak mengundi DAP pun apa pula dosa mereka sedangkan DAP parti yang halal dari segi pendaftaran ROSnya? Adakah Perkasa dan Utusan buta tentang ROS?

Kini MCA cukup jengkel dengan kemaraan DAP di Sarawak. Chua Soi Lek terlupa seketika bahawaa MCA adalah parti perkuaman Cina paling terserleh bermula daripada namanya sendiri yang melambangkan nama Cina!

UMNO, Perkasa dan Utusan juga terkesima dengan kebiadaban MCA mempertikai hak istimewa melayu dalam perlembagaan. Kini Perdana Menteri menyeru PAS meninggalkan DAP dan pakatan rakyat seolah-olah Perdana Mneteri kita tidak sempat membaca surat khabar mutaakhir ini.

Kepada kaum Melayu, kami Dewan Pemuda PAS Gopeng menyeru melihat isu PAS-DAP dengan lebih terbuka dan berfakta. Jika anda menyokong UMNO, UMNO juga bersekongkol dengan parti perkauman Cina dan teah lama menggadai nasib melayu Pulau Pinang kepada Gerakan.

Muhammad Nuruddin Bashah

Ketua Penerangan DPPK Gopeng

Monday, May 2, 2011

Hentikan kenyataan dangkal berkenaan kematian Osama

Hentikan kenyataan dangkal berkenaan kematian Osama

Dewan Pemuda PAS Gopeng merasa kesal dengan kenyataan pemimpin utama Negara kita yang menyatakan keamanan dunia amat diharapkan selepas berita kematian Osama. Adakah beliau terlupa bahawa gejala keganasan atau military action bukan suatu fenomena sebaliknya suatu dielektika yang berlangsung akibat hambatan tertentu seumpama pembersihan etnik, diskriminasi dan tindak balas terhadap kekejaman empirelis?

Adakah pemimpin umat islam yang giat mengampu AS yang mengeluar kenyataan bahawa keganasan serata dunia berkaitan dengan kegiatan umat Islam terlupa bahawa punca utama keganasa serata dunia adalah disebabkan penjajahan dan campurtangan pihak kuasa besar terhadap negara-negara umat islam? Terlalu lemahkah otak pemimpin umat islam untuk mengingati kekejaman zionis yang saban hari mejarah tanah umat islam Palestin sehingga menjadi sekangkang kera? Maklumat terkini menyaksikan statistik 1.2 juta jenayah penculikan anak-anak dan wanita yang lemah rakyat Palestin oleh polis-polis Yahudi yang sepatutnya difokuskan keganasan mereka.

Catatan rasmi FBI menunjukkan bahawa hanya 6% daripada serangan pengganas di wilayah AS antara tahun 1980 hingga 2005 dilakukan oleh mereka yang digelar 'ekstremis' Islam. Bakinya 94% berasal dari kelompok-kelompok lain (42% dari Latin, 24% dari kelompok sayap kiri ekstrim, 7% dari ekstremis Yahudi, 5% dari komunis, dan 16% dari semua kelompok lain).

Data yang dikumpulkan oleh Europol menguatkan lagi pernyataan ini. Setiap tahun Europol menerbitkan laporan tahunan berjudul 'Pengganas Kesatuan Eropah: Situasi dan Laporan Trend' dan laporan ini boleh diakses di laman web rasmi mereka.

Hasil laporan tersebut jelas membuktikan bahawa tidak semua pengganas adalah Muslim. Malah, 99.6% dari serangan pengganas di Eropah dilakukan oleh kelompok-kelompok bukan Muslim; dan 84.8% daripadanya berasal dari kelompok yang sama sekali tidak mempunyai kaitan dengan Islam. Maksudnya hanya 0.4% sahaja kes sahaja yang berkaitan dengan Muslim. Itupun kerana alasan tertentu seperti penindasan, diskriminasi dan lain-lain.

Namun begitu tidak juga kita mampu nafikan kematian Osama sekadar suatu propaganda AS yang kini kian tenat menapung perbelanjaan untuk memerangi manusia yang mungkin masih wujud atau tidak. Kini hutang AS tertakluk pada jumlah yang dibenar mencecah $14.001 trilion apabila dagangan ditutup, berdasarkan kenyataan harian Perbendaharaan U.S.

Obama yang mengeluar kenyataan bahawa keadilan dunia telah tercapai dengan kematian musuh nombor 1 AS itu, kian cuak dengan jumlah kematian dan perbelanjaan dana peperangan anti pengganas yang diwarisi daripada dinasti Bush sebelumnya. AS mungkin tidak akan memberi komen implikasi mengejar manusia bernama Osama, 2 buah negara umat islam Iraq dan Afghan telah menjadi padanh jarahan tentera AS. Kini Libya pula akan diselongkar atas nama membebaskan rakyat Libya daripada tangan Gaddafi walaupun jelas serangan udara berkenaan bermotifkan egoisme dan neo-koloni teradap hasil alam Libya.

Muhammad Nuruddin Bashah

Ketua Penerangan DPPK Gopeng

Saturday, April 30, 2011

Beberapa kejahilan agama dilakukan oleh Dato’ Eskay.

Beberapa kejahilan agama dilakukan oleh Dato’ Eskay.

1. Sumpah adalah prosedur mahkamah Syariah dan ia perlu dipertuduh menurut undang-undang syariah bukan melalui sivil.

2. Sumpah hanya untuk yang didakwa bukan yang mendakwa (apatah lagi si pembuat konspirasi).

3. Sumpah bukan di masjid dan memegang Al Quran ala Kristian. Dahulu sumpah dilakukan di masjid jika pengadilan syariah dilakukan di masjid (tiada bangunan mahkamah seperti hari ini). Sumpah wajib di hadapan hakim. Adakah Dato’ Eskay lupa bahawa negara kita negara memiliki mahkamah Syariah?

4. Adakah Dato’ Eskay berminaat menjalankan hokum islam lantaran itu memilih metod keterangan da pengadilan Islam iaitu sumpah?

5. Dalam undang-undang Islam si pendakwa perlu membawa bukti bukannya bersumpah. Ternyata Dato’ Eskay jahil.

6. bahan bukti yang didakwa iaitu pita video seks ditunjuk kepada wartawan bukannya kepada pihak mahkamah menujukkan bahawa individu seperti dato’ Eskay menganggap para wartawan adalah sebahagian daripada sistem perundangan syariah negara ini. Tahniah.

Lihat kenyataan Presiden PGSM, Mohamad Isa Abd Ralip di bawah;

Di dalam Islam sumpah seperti ini dibenarkan bagi tujuan untuk membersihkan diri seseorang itu daripada sesuatu tuduhan (tohmah) dan sumpah tersebut dipanggil sumpah tohmah. Sumpah ini sangat besar kesannya kerana dibuat atas nama Allah dan laknat Allah akan menimpa pembuat sumpah tersebut di dunia dan akhirat. Walaubagaimanapun sumpah seperti ini adalah bertujuan semata-mata bagi membersihkan nama seseorang dari sebarang tohmah dan ianya bukan suatu kaedah untuk menuduh orang lain atau mensabitkan seseorang itu bersalah.

Ini adalah kerana di dalam Islam serta perundangan negara kita ada kaedah serta undang-undang yang telah digariskan bagi mendakwa seseorang itu melakukan sesuatu kesalahan. Di dalam undang-undang Jenayah Syariah, kaedah yang ditetapkan bagi menyatakan seseorang yang dituduh itu melakukan sesuatu kesalahan adalah dengan pihak pendakwa atau orang yang membuat tuduhan mengemukakan bukti ke Mahkamah. Oleh itu, beban untuk membuktikan suatu dakwaan itu adalah terletak kepada orang yang mengemukakan dakwaan, dan mengkehendaki Mahkamah percaya akan kewujudan perkara di dalam dakwaan tersebut. Ini selaras dengan peruntukan seksyen 73 (1) Akta Keterangan Mahkamah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 memperuntukkan – ”Sesiapa yang berhasrat supaya mana-mana Mahkamah memberikan penghakiman tentang apa-apa hak atau tanggungan di sisi undang-undang yang bergantung kepada kewujudan fakta yang ditegaskan olehnya, mestilah membuktikan fakta itu wujud.”

Selanjutnya Akta yang sama menyatakan cara memberikan keterangan di dalam kes-kes jenayah syariah, keterangan hendaklah diberikan oleh pendakwa dan tertuduh, melainkan jika tertuduh mengaku salah. Seksyen 87 (3) Akta Keterangan memperuntukkan bahawa – ”Dalam kes jenayah, keterangan hendaklah diberikan bagi pendakwa dan bagi tertuduh melainkan jika tertuduh mengaku salah.”

Oleh yang demikian, sesuatu dakwaan terhadap sesuatu kes itu hendaklah dibuktikan ke Mahkamah melalui proses pendakwaan oleh pihak yang mendakwa. Adalah menjadi beban kepada pihak yang mendakwa untuk membuktikan segala dakwaan atau tuduhan di Mahkamah. Sesuatu dakwaan atau pertuduhan tersebut hendaklah dibuat di Mahkamah dan bukannya di tempat-tempat awam atau di Masjid. Ini adalah kerana masjid adalah tempat yang suci untuk umat Islam beribadat dan bukannya menjadi tempat atau gelanggang bagi menyatakan kebenarannya sesuatu dakwaannya itu adalah benar.

Orang mendakwa perlu mengemukakan bukti bagi menyokong dakwaannya samada bukti tersebut adalah berbentuk saksi yang memberikan keterangan atau dokumen sebagai contoh laporan perubatan. Ini adalah penting bagi menyokong dakwaannya dan bukannya hanya bersumpah. Di dalam prinsip keterangan Islam sumpah sebenarnya terletak kepada pihak yang kena dakwa dan bukannya orang yang mendakwa selari dengan prinsip Islam iaitu ”Keterangan pada pihak yang mendakwa dan sumpah kepada pihak yang mengingkarinya.”

Di dalam jenayah Islam kes-kes yang melibatkan qisos seperti membunuh para fuqaha masih tidak sepakat dalam menerima sumpah sebagai dalil mensabitkan jenayah. Imam Malik, Syafie dan Ahmad berpendapat, sumpah diterima oleh Islam sebagai dalil atau bukti jenayah ke atas tertuduh jika tiada bukti lain, atau bukti tidak cukup. Sedangkan Imam Abu Hanifah berpendapat sumpah bukan suatu bukti atau dalil mensabitkan jenayah, tetapi satu cara bagi menafikan tuduhan yang dibuat oleh pendakwa ke atas tertuduh. Jenayah qisos yang dibolehkan bersumpah dalam mensabitkan jenayah hanyalah dalam jenayah membunuh sahaja.

Dalam kes-kes yang melibatkan hudud (zina, qazaf (menuduh zina), minum arak, mencuri, samun, memberontak dan murtad), sumpah hanya diterima sebahagian kecil ulama’ dalam kes-kes tertentu seperti qazaf dan mencuri sahaja.

Manakala di dalam kes qazaf (menuduh zina), menurut Mazhab Shafie, sekiranya pendakwa tidak mempunyai apa-apa keterangan atau tidak cukup bukti, maka tertuduh boleh diminta bersumpah menafikan dakwaan itu. Jika tertuduh bersumpah, maka gugurlah dakwaan itu. Walaubagaimanapun, Imam Malik dan Ahmad tidak menerima langsung sumpah sebagai satu bukti mensabitkan kesalahan qazaf.

PGSM berpendirian bahawa di dalam kes-kes yang melibatkan jenayah syariah seperti liwat, khalwat serta persetubuhan luar nikah hendaklah dibuktikan oleh pihak pendakwa di Mahkamah dan pihak yang dituduh boleh untuk menafikan tuduhan tersebut melalui keterangan dan boleh bersumpah sekiranya diperintah oleh Hakim berbuat demikian. Namun demikian sumpah tersebut tidak mengikat hakim di dalam membuat keputusan sabitan kesnya.

Lajnah Penerangan DPPK Gopeng.

Sunday, April 24, 2011

Malaysia menuju negara Kleptokratis?

Malaysia menuju negara Kleptokratis?

Mungkin besar peratusannya Negara kita sudah menjengah ke tahap negara kleptokratis sebagaimana ungkapan yang ditulisan oleh Prof Madya Dr Syed Farid Alatas sebagai pengantar buku Rasuah, Sifat Sebab dan Fungsi karya Syed Hussain Alatas. Istilah kleptokratis dipopularkan oleh Stanislav Andreski (1970) dalam menghurai ciri-ciri negara yang sarat dengan aktiviti dan budaya hidup rasuah serta nepotisme.

Antara yang jelas bagi sesebuah negara kleptokratis adalah sebarang pertolongan dan bantuan diasaskan atas nama wang, ganjaran dan hadiah. Malah sebenarnya negara tersebut bukan menjunjung aspirasi dan tradisi perintah demokrasi, sebaliknya segala sudut dan sendi masyarakat digenggam oleh sekelompok oligarkis baik daripada peringkat kabinet, legeislatif, pendidikan, hiburan dan sukan. Malah komuniti kampung seumpama JKKK pun mampu dihinggapi oleh wabak oligarki. Ada banyak kampung di negara ini yang tidak membawa cara tadbir demokrasi sebaliknya keputusan dan pekuang ditentukan oleh kelompok oligarki yang bermaharajalela walaupun hanya di peringkat kampung.

Apa maknanya oligarki dalam sesebuah negara? Negara atau masyarakat yang sarat dengan budaya oligarki akan dikuasai oleh segelintir kleptokrat egoistik yang elit, berharta, berpengaruh serta sentiasa mengambil kesempatan atas pihak yang lemah.

Secara umum rasuah di negara ini boleh diketogarikan sebagai rasuah egoistik dan rasuah solidaristik. Rasuah egoistik banyak menjangkiti para pemodal, golongan kaya, produser, ahli korperat yang memperkudakan golongan politik, pemimpin dan perlaksana seumpama jurutera, arkitek mahupun guru dan doktor. Manakala rasuah solidaristik cukup banyak mengasai para menteri, ahli parlimen amlah sehingga ke peringkat ketua kampung yang membantu sanak saudara melalui pintu belakang atas nama membantu keluarga, membantu bangsa atau lebih jelek melegitimasikan rasuah atas nama bumiputera.

Budaya pentadbiran dan kehidupan di malaysia kini cukup menyuburkan budaya rasuah defensif di mana rakyat, ahli perniagaan, kontraktor mahupun artis terpaksa menyediakan sogokan untuk menerima habuan tender, projek, peluang untuk ke hadapan. Ia berasal dari gejala rasuah pemerasan extortive corruption yang diamalkan oleh para oligarki. Oligarki ini tidak mengenal apa itu demokrasi, pengagihan kekayaan dan kesaksamaan peluang sesama rakyat. Yang ada di fikiran mereka adalah bagaimana mengaut keuntungan ke atas bakat dan upaya pihak lain dengan menapis (mark up) wang dan ganjaran sebelum meluluskan peluang kepada pihak yang diperas. Kaibatnya golongan berbakat, golongan peniaga dan sebagainya terpaksa menyuburkan budaya rasuah defensi untuk hidup di muka bumi ini. Bukankah ia tetap rasuah?

Rasulullah bersabda; “Allah melaknat pemberi rasuah dan penerimanya” (Riwayat al-Tirmizi dan Ibn Majah). Di Malaysia masih ramai para Haji dan Hajjah yang ingin mengaut projek tertentu memulai projek dengan merasuah dahulu semata-mata untuk medapat perhatian dato’ dato’ tertentu walauapun projek tersebut melakukan pekerjaan halal seperti projek menyediakan makanan dan sebagainya.

Akhbar Sinaar Harian 18 April 2011 mungkin melakukan kelainan kerana memaparkan satu temubual dengan beberapa artis Malaysia berkenaan rasuah dan sogokan yang berlaku di kalangan artis, produser dan pengarah. Datuk Aziz satar yang berpengalaman luas mengakui gejala rasuah berlaku dalam dunia artis dan hiburan. Pekaon Abby Abadi pula mengaakui pernah mendengar desas desus adanya artis wanita menjual tubuh untuk mendapat peluang berlakon, menerbit album dan sebagainya. Manakala jawapan Presiden Persatuan Sutradara Malaysia, Mat London mungkin mengecewakan kerana beliau menganggap layanan dan siap mesra artis terentu terhadap penerbit dan pengarah bukan bermakna rasuah sebaliknya digelar ‘bijak mencari peluang’. Yang menjadi perhatian di sini adakah cara pencarian peluang tersebut mengikutia syarak? Tidak mendedah aurat, tidak melayani seperti pasangan sah dan sebagainya. Kerosakan akhlak para artis atas nama mencari peluang atau atas nama ‘mencari rezeki halal’ tidak bermakna dan ia adalah fasad.

Dalam akhbar yang sama Dr Ridhuan Tee mungkin jelas menyelar golongan yang menjadi punca rasuah iaitu golongan perasuah extortive yang menyebabkan beberapa anggota Kastam dan penjawat awam negara ini terpaksa menerima rasuah untuk melakukan perkara menyalahi undang-undang. Semua penjawat awam sedar implikasi rasuah yang merosakkan negara. Tetapi mengapa masih ada pihak menerima rasuah? Jika diteliti lagi jelas ia menjadi lumra dan kebiasaan akibat rasuah-rasuah mega yang dilakukan oleh para pemimpin masih banyak tidak dibongkar dan diselesaikan.

Firman Allah dalam An Nisa’ ayat 135, Wahai orang-orang Yang beriman! hendaklah kamu menjadi orang-orang Yang sentiasa menegakkan keadilan, lagi menjadi saksi (yang menerangkan kebenaran) kerana Allah, sekalipun terhadap diri kamu sendiri, atau ibu bapa dan kaum kerabat kamu. kalaulah orang (yang didakwa) itu kaya atau miskin (maka janganlah kamu terhalang daripada menjadi saksi Yang memperkatakan kebenaran disebabkan kamu bertimbang rasa), kerana Allah lebih bertimbang rasa kepada keduanya. oleh itu, janganlah kamu turutkan hawa nafsu supaya kamu tidak menyeleweng dari keadilan. dan jika kamu memutar-balikkan keterangan ataupun enggan (daripada menjadi saksi), maka Sesungguhnya Allah sentiasa mengetahui Dengan mendalam akan apa Yang kamu lakukan.

Allah jelas melarang kita membezakan golongan yang patut diberikan penyaksian atau memilih pangkat dan keturunan. Jika rasuah wujud di kalangan rakyat ikan bilis sehinggalah golongan oligarki yang besar umpa jerung tetap perlu disiasat dan diberi penyaksian atas rasuah mereka.

Menurut Ramli Abdul Samad aliran pendapatan negara sepanjang 10 tahun lalu menunjukkan bahawa hampir 34% daripada 1.3 juta pekerja memperolehi kurang RM700 sebulan sedangkan garis kemiskinan adalah RM720 sebulan. Sementara itu negara dengan jumlah penduduk seramai 27 juta orang telah berjaya menghasilkan seramai 22 orang bilioner. Peruntukan sebanyak RM52 bilion selama beberapa Pelan Rancangan Malaysia sebelum ini untuk ekuiti orang Melayu telah hangus atas angin dan menjadikan orang Melayu masih memegang lebih kurang 2-3% ekuiti. Jika tidak impian kerajaan melihat ekuiti orang Melayu sebanyak 30% sudah tercapai. Ketirisan wang sebanyak RM28 bilion berlaku setiap tahun.

Lebih sedih ada yang beralasan, biarkan ketirisan wang berlaku bukankah yang mendapat habuan adalah golongan rakyat negara ini yang bakal membayar cukai kepada kerajaan dan negara? Bukankah faedahya akan kembali kepada rakyat?

Persoalannya tujuan wang dilabur dan disalurkan melalui projek-projek tertentu adalah untuk merealisasikan matlamat dan mencapat KPI tinggi keberhasilannya dan bukan sekadar indah di kertas kerja sahaja. Jika alasan faedah cukai kembali ke negara digunakan tidak pelrulah projek-projek indah dilaksanakan atas nama kebajikan kepada rakyat. Salurkan terus kepada si oligarki penagih wang tertentu. Lagipun, wang yang tiris ke tangan penagih rasuah selalunya disimpan ke bank luar negara yang menyebabkan kurangkan faedah kembali ke dalam negara.

Tidak hairan jika Prof Datuk Hassan Ahmad pernah berkata dalam makalah tetapnya dalam Dewan Masyarakat, orang Malaysia yang sebenarnya miskin dan papa bukannya rakyat bawahan yang cukup makan dan pakai. Sebaliknya golongan jutawaan yang papa kedana kerana seringkali menagih perhatian pemimpin tertentu untuk hidup dan mendapat kemewahan hidup. Inilah golongan miskin sebenar negara kita.

Muhammad Nuruddin Bashah

Ketua Penerangan DPPK Gopeng 2011

Lagu Jihad


MusicPlaylistView Profile
Create a playlist at MixPod.com
Renungan : "Jika kamu menolong (agama) Allah, nescaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu" ~Surah Muhammad, ayat 7