Malaysia di war-warkan sebagai negara yang pesat membangun, menjadi pilihan pelabur dan DS Najib Tun Razak dalam ulasannya menyebut yang Malaysia tidak akan terjejas dengan kegawatan ekonomi yang sedang melanda sekarang.
Amat memalukan bila negara kita tercorot di tangga ke 7 negara Asia Timur dan lebih memalukan lagi bila negara bermasalah dan selepas perang seperti Vietnam, Laos dan Kemboja mengatasi negara kita.
Indonesia juga semasa kegawatan ekonomi yang melanda Asia yang bermula pada tahun 1998 antara yang paling teruk mendapat kesan kegawatan yang mengakibatnya jatuhnya diktator Suharto. Pada masa itu Malaysia, Singapura, Brunei telah menghulurkan bantuan terhadap Indonesia. Dan akhirnya Indonesia dalam proses pemulihan ekonominya telah mengambil pakej bantuan IMF. Indonesia mengatakan yang mereka tiada pilihan dan negara mereka terpaksa berhutang untuk membayar hutang dan IMF adalah jalan penyelesaian terbaik mereka pada masa itu. Dan pada hari ini Indonesia mendahului Malaysia di tangga ke-6.
Di negara-negara maju, pengundi menilai sesebuah kerajaan melalui dasar-dasar yang dilaksanakan pemerintah. Bagaimana taraf hidup rakyat di bela, sosio ekonomi, pekerjaan, pelaburan, pendidikan dan keadilan untuk rakyat.
Kegagalan kerajaan dalam pembangunan ekonomi menjadi punca kejatuhan kerajaan di negara maju. Di negara maju pemerintah hanyalah care taker yang di beri kontrak oleh rakyat bagi mengurus selia negara bagi kepentingan dan pembangunan rakyat. Pembangunan dan kemajuan rakyat adalah halatuju sebenar kearah pembangunan sesebuah negara.
Di negara maju pemerintah di pandang sebagai mereka yang dibayar gaji oleh rakyat. Pemerintah hanyalah pengurus wang cukai -tax payer money-. Dan mereka -pemerintah- dibayar gaji dari wang cukai rakyat. Pemerintah pula menjalankan dasar sesuai dengan kehendak dan kepentingan pembangunan bagi rakyat. Undang-undang pula di gubal bagi kepentingan negara dan rakyat bukannya bagi menjaga kepentingan parti pemerintah.
Ini berbeza di negara kita di mana pemerintah di pandang sebagai mereka yang menyara kehidupan rakyat. Di segi subsidi, kemudahan, pembangunan untuk rakyat di manipulasi oleh pemerintah sebagai habuan untuk rakyat dari pemerintah. Sedangkan segala kemudahan, pembangunan yang disediakan adalah bersumber dari wang cukai rakyat dan hasil negara dan bukannya dari duit poket atau milik parti pemeritah seperti Barisan Nasional.
Tentang bagaimana duit pembayar cukai dan hasil negara di urus selia itulah indikator penting pemilihan pemerintah di negara maju. Malangnya di negara kita walaupun terbukti setelah lebih 50 tahun Barisan Nasional memerintah dan pembaziran yang melibatkan bilion ringgit wang pembayar cukai dan hasil negara, kerajaan Barisan Nasional masih di kekalkan.
Ini berlaku hasil manipulasi media dan propaganda yang berhasil telah mengelirukan rakyat dan pengundi. Di tambah pula sikap rakyat Malaysia yang kurang membaca dan menganalisa berita yang di terima. Kerana itulah masih ramai yang membutakan mata dan memekakkan telinga walaupun saban hari mereka membaca di akhbar bagaimana UMNO dan Barisan Nasional itu sudah sinonim dengan Rasuah Politik, masih tegar dengan sokongan terhadap Barisan Nasional.
Ini berlaku kerana mereka tidak bersikap analytical dan mempunyai critical thinking bagi menilai hidup dan kerajaan yang ada sekarang. Sedangkan rasuah politik itulah puncanya pemerintah yang korup yang mementingkan diri dan parti.
Penerimaan rakyat terhadap kerajaan yang korup dan penuh rasuah adalah kerana hilangnya nilai dan dogma normal kehidupan dan pemikiran yang telah di manipulasi oleh kerajaan Barisan Nasional kearah pergantungan hidup hanya kepada Barisan Nasional. Walaupun kerajaan Barisan Nasional lah yang sebenarnya menyusah dan membelenggu hidup mereka.
Kemiskinan, pembangunan, pekerjaan, pembelajaran,.. di jadikan rasuah oleh kerajaan Barisan Nasional bagi memastikan sokongan. Bukannya kerana tanggungjawab sebagai pemerintah. Kerana itulah kita perhatikan kemiskinan masih menjadi isu, pembangunan pula bersifat selektif mengikut kepentingan percaturan pemerintah bukan mengikut kepentingan dan keperluan rakyat, peluang pekerjaan dan pengangguran masih gagal diatasi dan pembelajaran pula menjadi isu yang tidak berkesudahan bila sistem pendidikan di rombak dan berubah setiap kali Menteri Pelajaran baru yang naik.
Pendek kata bahana mengekalkan Barisan Nasional telah menjadi satu sumpahan bagi rakyat Malaysia pada hari ini yang sedang kita terima.
Kita tidak di pandang oleh negara luar malah Singapura dan Thailand negara terdekat tidak menghormati Malaysia. Ia mampu di tonjolkan secara diplomasi politik tetapi tidak melalui persepsi dan realiti di dunia ini.
Bahana dan sumpahan mengekalkan Barisan Nasional sedang kita terima, hinggakan bukan hanya rakyat telah mula bangkit malah, segala binaan yang di buat oleh Barisan Nasional sendiri menonjolkan kegagalan mereka. Kerana itulah kita lihat jambatan retak, bangunan kerajaan ada yang retak, banyak pula yang bocor hinggakan bangunan parlimen sendiri yang baru di perbaiki bocor bumbungnya dan mengganggu sidang yang berlangsung. Dan terbaru bangunan JPJ pun di laporkan bocorkan pula.
Di harap ia dapat membuka mata semua. Bukan hanya rakyat menerima bahana dari korupsi pemerintahan Barisan Nasional malah binaan yang mereka buat juga menerima bahana kerosakan.
Kerajaan Barisan Nasional adalah kerajaan yang gagal. Kita sepatutnya semakin membangun dan kukuh malangnya setelah 52 tahun merdeka negara kita ketinggalan di segi pertumbuhan ekonomi dan negara-negara selepas perang seperti Laos, Vietnam dan Kemboja mendahului kita.
Dan di harap rakyat tidak seperti tikus tengok besi dengan unjuran ekonomi yang dikeluarkan oleh Bank Dunia.
Unjuran ekonomi yang corot menunjukkan indikasi kelemahan perkembangan ekonomi yang bakal memberi impak terhadap pelabur luar, indeks harga saham, peluang pekerjaan dan kos sara hidup rakyat.
Bahana Barisan Nasional bukan sahaja membebankan rakyat dalam negara malah menjatuhkan kredibiliti negara di persaingan antara negara luar. Ia berpunca dari salah urus dan pemerintahan yang korup oleh kerajaan Barisan Nasional.
Kita perlu ingat yang Perdana Menteri, Timbalan, Menteri-menteri kabinet,. di bayar gaji oleh kita untuk mengurus tadbir negara. Kegagalan merupakan satu kerugian. Dan kerugian memberi implikasi kepada rakyat yang terpaksa menanggungnya kerana pemerintah terlepas dari tanggungjawab dan mereka berterusan hidup penuh privilege.
Untuk itu jatuhkan kerajaan Barisan Nasional, kerana Malaysia perlukan kepimpinan baru yang lebih telus dan bertanggungjawab. Malaysia bukan milik Barisan Nasional. Malaysia milik rakyat.
Jangan berterusan memperjudikan nasib dengan Barisan Nasional. Kerana mereka telah 52 tahun di beri peluang. Dan terbukti hidup kita makin di himpit kesusahan. Mereka tidak mendokong konsep kerajaan dari rakyat untuk rakyat. Tetapi menjadikan kita pak turut dan ketinggalan.
Dan bila kerajaan yang di pilih rakyat tidak mahu berubah, maka rakyat lah yang patut mengubahnya.
Gunakan kuasa anda. Tolak Barisan Nasional
No comments:
Post a Comment