Friday, August 21, 2009

Inkues Teoh: Surat Misteri Dedah Butir Babitkan Inkues Kematian Teoh

BUKTI...Abu Hassan menunjukkan salinan sijil cuti sakit dan surat tunjuk sebab yang sudah diserahkan.

SHAH ALAM: Kewujudan surat misteri yang didakwa mengandungi butir berkaitan prosiding inkues bagi menentukan punca kematian setiausaha politik kepada Exco kerajaan Selangor, Teoh Beng Hock menjadi tanda tanya di Mahkamah Koroner di sini, semalam.
Surat yang tidak didedahkan isi kandungannya diterima peguam pemerhati keluarga Teoh, Gobind Singh Deo selepas prosiding inkues pada petang kelmarin.
Gobind dalam prosiding semalam berkata, wujud perkembangan terbaru selepas dia menerima surat yang didakwa mengandungi butir yang jelas membabitkan inkues berkenaan.
Menurutnya, kandungan surat itu sangat penting dan relevan serta berkaitan apa yang dibincangkan dalam prosiding inkues menentukan punca kematian Teoh, 30.
“Saya memohon mahkamah mengeluarkan arahan supaya pegawai penyiasat dalam kes terbabit menyiasat kandungan surat itu,” katanya.
Peguam Tan Hock Chuan yang dilantik kerajaan Malaysia tidak membantah permohonan Gobind supaya pegawai penyiasat membuat siasatan kerana mendakwa isu kandungannya akan dibangkitkan dalam prosiding berkenaan.
“Ketika siasatan dilakukan untuk mendapat kepastian sama ada ia betul atau sebaliknya...saya memohon mahkamah menyekat butir kandungan surat itu didedahkan bagi tidak mengganggu siasatan,” katanya.
Selepas Koroner Azmil Muntapha Abas meneliti surat bertaip itu, beliau memberitahu wujud beberapa elemen yang berkait rapat dengan perjalanan kes inkues dan mengarahkan pegawai penyiasat melakukan siasatan terhadapnya.
Beliau juga mengingatkan peguam supaya tidak mendedahkan sebarang maklumat penting berhubung kandungan surat itu kepada media yang boleh menjejaskan siasatan polis.
Sementara itu, Gobind yang ditemui selepas prosiding berkenaan memberitahu surat berkenaan mengandung lima helaian yang diberikan seseorang selepas prosiding kelmarin.
Bagaimanapun, Gobind enggan mengulas lanjut ketika diasak sekumpulan wartawan yang bertanya berhubung kandungan surat berkenaan.
Teoh ditemui mati di koridor tingkat lima, bangunan Plaza Masalam di sini yang turut menempatkan pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), pada 16 Julai lalu.
Kematiannya mencetuskan pelbagai spekulasi kerana mendiang sebelum itu dipanggil memberi keterangan dalam kes penyalahgunaan peruntukan kerajaan negeri membabitkan tujuh Adun Selangor daripada Pakatan Rakyat.
Perbicaraan bersambung Isnin depan. Metro

No comments:

Post a Comment

Lagu Jihad


MusicPlaylistView Profile
Create a playlist at MixPod.com
Renungan : "Jika kamu menolong (agama) Allah, nescaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu" ~Surah Muhammad, ayat 7