Serangan berdarah ke atas kapal MV Mavi Marmara oleh pasukan komando Syayetet 13 rejim zionis hanyalah sebahagian dari wajah zalim dan bongkak yang ditayangkan kepada dunia sejak sekian lama. Laporan wartawan Associated Press, Steven Gutkin menyebut kapal berkenaan dianggarkan memuatkan 600 hingga 700 sukarelawan Free Gaza Movement dari 20 buah negara termasuk Malaysia dan sehingga kini 9 aktivis dilaporkan terbunuh dalam serangan yang dilakukan di perairan antarabangsa semalam.
Dewan Pemuda PAS Kawasan Gopeng menegaskan tindakan Majlis Keselamatan yang mengeluarkan kenyataan mengutuk tindakan rejim zionis hanyalah sandiwara yang diulang setiap kali rejim berkenaan bertindak di luar batas kemanusiaan dan tidak memberikan sebarang kesan kepada rejim zionis disamping sikap Amerika Syarikat yang sentiasa melindungi kepentingan rejim berkenaan.
DPPKG menyatakan bahawa punca misi kemanusiaan yang disertai oleh rakyat dari berbilang negara mengambil keputusan untuk menggunakan jalan laut untuk menghantar bantuan kepada 1.5 juta rakyat Palestin di Gaza adalah kerana penutupan Sempadan Rafah oleh Mesir dan rejim zionis. Penutupan sempadan berkenaan sejak Jun 2007 telah menutup sepenuhnya pintu masuk untuk bantuan antarabangsa ke Gaza selain memisahkannya dengan wilayah Tebing Barat.
DPPKG menegaskan tindakan menutup sempadan Rafah selepas kemenangan Hamas dalam pilihanraya pada Januari 2006 adalah tindakan paling tidak berperikemanusiaan oleh sebuah negara Islam terhadap negara saudaranya. Tindakan tersebut telah menyebabkan hampir 1.5 juta penduduk Palestin mengalami kebuluran dan tidak mendapat rawatan secukupnya akibat kekurangan bekalan ubat-ubatan.
Tidakkah kerajaan Mesir mengetahui bahawa lebih 60% dari penduduk Gaza adalah kanak-kanak berusia 19 tahun ke bawah? Tidakkah kerajaan dan pemimpin Mesir mengetahui lebih dari separuh kanak-kanak di Gaza mengalami kebuluran saban hari? Tidakkah kerajaan Mesir mengetahui 69% kanak-kanak di Gaza mengalami masalah psikologi akibat perang yang serius? Tidakkah Mesir mengetahui lebih dari 50 orang kanak-kanak Palestin dibunuh oleh rejim zionis setiap tahun? Tidakkah kerajaan Mesir mengetahui lebih 71% keluarga di Gaza hanya bergantung harap kepada bantuan bekalan makanan? dan soalan utama, apakah kerajaan Mesir tidak mengetahui bahawa yang ditembak, yang dipenjara, yang dibunuh adalah saudara seagama mereka.
DPPKG menyatakan bahawa satu mesej jelas dan tegas harus dihantar kepada kerajaan Mesir yang bersekongkol dengan kerajaan haram Israel melakukan jenayah kemanusiaan ke atas saudara-saudara Islam kita di Gaza. Oleh itu DPPKG dengan ini menggesa agar Kerajaan Malaysia memutuskan hubungan diplomatik secara rasmi dengan kerajaan Mesir sebagai bantahan kepada sikap dan tindakan mereka yang bersekutu dengan rejim Zionis.
DPPKG juga menuntut agar Kedutaan Mesir segara ditutup dan kerajaan menghantar balik diplomat-diplomat Mesir ke negara mereka. Tindakan ini juga sebagai tanda sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada rakyat Palestin dan perjuangan membebaskan Palestin dari rejim zionis.
DPPKG merasakan tiada gunanya bersahabat dengan sebuah negara yang tidak mempunyai rasa belas kasihan terhadap jiran yang seagama dan sebangsa dengan mereka. DPPKG juga mengajak semua rakyat Malaysia melakukan tindakan boikot terhadap semua barangan buatan Mesir sebagai sebahagian dari sumbangan terhadap perjuangan rakyat Palestin.
Akhir sekali , DPPKG mendoakan agar rakyat Malaysia yang terlibat dalam kejadian tersebut selamat dan mengharapkan agar saudara mara di Malaysia tabah menghadapi ujian ini.
Sekian.
HARIS ALIMUDIN
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS
Kawasan Gopeng
No comments:
Post a Comment