Umat Islam tidak perlu bersetuju dengan Gerakan Sederhana Global Malaysia
Tidak terkejut jika Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Hillary Clinton pada 2 November yang lalu menyatakan sokongan kepada falsafah Gerakan Kesederhanaan Global (GKM) yang diilhamkan oleh Perdana Menteri Malaysia. Hujah beliau lagi, sejarah membuktikan semua agama mempunyai golongan pelampau yang boleh mencetuskan konflik walaupun tidak berupaya menggugat kestabilan, keamanan dan demokrasi.
Memang kini, malaysia antara destinasi hab pemikiran Amerikanisasi yang mendokong tinggi cara pandang sarwa ala barat-sekular. Pertemuan demi pertemuan antara pemimpin dua negara ini cukup menjelaskan bahawa kitab sekular Amerika masih belum dikhatamkan oleh pemimpin-pamimpin tempatan kita.
PM juga ada memberi cadangan supaya diwujudkan “Pergerakan Kesederhanaan Global” adalah bertujuan mengajak pemimpin, ulama serta cerdik pandai dunia Islam tampil secara berani untuk menyuarakan pendirian secara terbuka dan tegas, sekali gus mengekang fahaman ekstremis. Cadangan ini telah disuarakan di Perhimpunan PBB di New York dan Sidang ASEAN ke 17 yang baru berlalu baru-baru ini.
Persoalannya sekarang, adakah Malaysia ingin mempopularkan aliran pemikiran baru? Dalam teks ucapan Datuk Seri Najib ketika merasmikan sambutan ulang tahun ke 50 PERKIM pada 6 November, beliau mengambil PERKIM sebagai contoh kumpulan sederhana. Apakah kayu ukur sebenar gerakan sederhana yang dimaksudkan oleh Datuk Seri Najib? Adakah cara perjuangan NGO islam atau gerakan dakwah selain PERKIM adalah ekstrim?
Perdana Menteri sendiri telah melabelkan Malaysia sebagai negara Islam yang sederhana dan progresif, ketika sidang media hari terakhir lawatan kerja beliau menghadiri Perhimpunan Agung PBB, mesyuarat ke-2 ASEAN-Amerika Syarikat serta pertemuan dua hala dengan pemimpin asing dan rundingan bersama sektor perniagaan di New York sejak Khamis lalu. Lawatan ini disifatkan sebagai global bagi Malaysia untuk menampilkan peranan dalam isu antarabangsa seperti Islamphobia dan penyelesaian konflik antarabangsa. Dengan itu, penubuhan Pergerakan Kesederhanaan Global juga dilihat sebagai salah satu metod utama bagi merealisasikan ‘konsep sederhana’ yang dibawa oleh Perdana Menteri.
Apakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan sederhana? Adakah sama dengan konsep wasatiyah atau istilah ummatan wasatan yang Islam gariskan?
Sederhana di mata Datuk Seri Najib adalah berlawanan dengan ekstrim. Adakah ekstrim yang dikempenkan oleh kerajaan Malaysia sejajar dengan kempen Obama boleh disamakan pula dengan perbuatan ghulluw atau melampau batas di dalam Islam?
Meletakkan kayu ukur perbuatan yang melampaui batas bukanlah suatu perkara yang mudah biarpun perbuatan ini ada disebut lebih 20 kali di dalam Al-Quran. Menurut Imam Al-Qurtubi, di dalam Surah Al-Maidah, ayat 99, Allah s.w.t. telah mengharamkan sikap ghuluw dengan memberi contoh sikap Yahudi yang menuduh Maryam binti Imran berzina dan sikap Nasrani yang menganggap Maryam pula sebagai Tuhan. Sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas r.a.:
‘Wahai manusia, waspadalah kamu sekalian terhadap ghulluw di dalam Islam. Sesungguhnya yang membinasakan umat-umat sebelum kamu hanyalah sikap ghulluw dalam agama mereka.’
Ghulluw semestinya telah terpesong daripada cara pandang Islam yang meletakkan ajaran Al-Quran dan As-Sunnah sebagai teras sesuatu perbuatan Muslim. Berlawanan pula dengan tahasul yang membawa maksud terlalu beringan-ringan dalam meletak hukum, sikap ini turut tidak berlandaskan hukum syarak hingga kelihatan memperlekehkan agama yang telah tersedia dengan rukhsahnya. Tasahul boleh membawa kepada perilaku fasiq kerana memudahkan syariah dan fatwa.
Idea yang dilontarkan Perdana Menteri kelihatannya seperti ingin menjernihkan atau membetulkan pandangan Barat yang kurang memahami Islam dan melabel Islam dengan istilah pengganas atau ekstrimis. Walau bagaimanapun, dalam masa yang sama, seperti ada perkara yang tidak kena berlaku ketika penganjuran Festival Busana Muslim di Monte Carlo, Monaco pada Ogos lalu yang telah menimbulkan bantahan dan kecaman dari ramai pihak. Festival ini dalam konteks Islam adalah memudahkan agama sehingga merosakan pandangan kaum bukan islam terhadap syariah islam. Tiada beza syariah islam dengan perilaku kaum bukan Islam.
Adakah Datuk Seri Najib ingin menjustifikasikan tindakan Datin Seri Rosmah sebagai selari dengan fahaman beliau tentang konsep ‘bersederhana’ dalam Islam, Malaysia adalah negara yang sederhana atau sebenarnya disebabkan dasar ingin menjaga hati negara Barat, festival dengan pakaian sedemikian dianjurkan? Adakah ini yang dikatakan tidak ekstrim dan tidak melampau dalam beragama?
Apa yang berlaku kini, apabila berlangsungka festival Busana Muslim di Malaysia yang cukup memalukan agama, dicadangkan pula Malaysia sebagai Hab Hiburan Malam antarabangsa menunjukkan gerakan sederhana ini bukan gerakan wasatiyyah. Gerakan sederhana ini termasuk ketegori tasahul dan terkeluar daripada kayu ukur wasatiyyah-ghulluw. Ia tidak layak dibahas secara islamis melainkan menggelarkan gerakan ini sebagai gerakan sekular yang ingin menjinakkan gerakan dakwah Malaysia.
Apalah yang dipentingkan sangat dengan labelan Barat jika dibandingkan dengan tindakan umat Islam sendiri yang sanggup merendah-rendahkan martabat Islam dengan mengabaikan syarat pemakaian Islam agar sesuai dengan pakaian Barat dengan harapan Barat akan melihat Islam itu dengan cara yang lebih baik. Realitinya, pandangan Barat tetap tidak akan berubah kerana mereka sendiri yang mencipta istilah ekstrimis tersebut.
Label yang diberikan Barat tidak harus terlalu diambil berat kerana menurut catatan rasmi FBI, hanya 6% dari serangan pengganas di wilayah AS (1980-2005) dilakukan oleh mereka yang digelar 'ekstremis' Islam. Bakinya 94% berasal dari kelompok-kelompok lain (42% dari Latin, 24% dari kelompok sayap kiri ekstrim, 7% dari ekstremis Yahudi, 5% dari komunis, dan 16% dari semua kelompok lain). Data yang dikumpulkan oleh Europol lebih menguatkan bukti dengan terbitnya laporan ‘EU Terrorism Situation and Trend’. Di lama web rasmi Europol, laporan seawal tahun 1998 hingga 2010 boleh diakses dengan mudah.
Hasilnya jelas, dan tegas membuktikan bahawa tidak semua pengganas adalah Muslim. Malah, 99.6% dari serangan pengganas di Eropah dilakukan oleh kelompok-kelompok non-Muslim dan 84.8% daripadanya berasal dari kelompok yang sama sekali tidak mempunyai hubung kait dengan Islam. Maksudnya, hanya sejumlah 0.4% kes sahaja mempunyai kaitan dengan Muslim. Itupun kerana alasan tertentu seperti penindasan dan lain-lain.
Perlebalan umat Islam sering dilakukan melalui cara fikir dan pandang akademik cara barat. Fundamentalisme Islam merupakan satu terma popular dan lumrah diguna pakai sama ada di kalangan pelajar, pengkaji, sarjana, dan ulama baik di dunia Timur mahu pun Barat. Kalimah fundamentalisme Islam bukan berasal daripada dunia Islam tetapi ia diberikan oleh dunia Barat (tidak merujuk pada keseluruhan Barat) kepada penganut Islam. Istilah ini sebenarnya berasal dari bahasa Inggeris, begitu juga dengan termanya bukan berasal dari dunia Islam, ia merujuk kepada golongan Kristian, American Protestant, yang menentang dengan kekerasan pemikiran modenisme dan liberalisme, khususnya evolusionisme dan Darwinisme.
Asal-usul kelahiran dan doktrin pegangan fundamentalisme (Kristian) berkait langsung dengan sejarah dan pengalaman yang berlaku dalam agama Kristian Protestan di Amerika Syarikat. Fundamentalisme seperti yang disebutkan di atas adalah gerakan militan dan (ultra) konservatif Protestan yang muncul di Amerika Syarikat
sebagai satu tindakbalas terhadap kemajuan Kristian moden dalam akhir abad ke-19 dan awal abad ke-20. Ia juga sebagai respon menentang teori evolusi dan pengkajian secara sejarah kitab Bible serta pentafsiran. Ini jelas berdasarkan petikan berikut:
‘During the 1920s fundamentalists actively fought against medernism in their churches and against evolution in their schools. They lost those battles but retreated and reorganized into a network of instituitions that has housed much of the conservative wing of American Protestantism ever since.’’
Jelas di sini, fundamentalisme dalam konteks asalnya (Kristian) merupakan satu nama yang digunakan bagi merujuk kepada satu golongan penganut agama Kristian yang muncul sebagai satu tindakbalas terhadap
kemajuan Kristian moden dalam abad ke-19 terutamanya di Amerika Syarikat.
Ulama’ Islam yang tegar mempertahankan syariah secara kaffah (holistik) bukannya fundementalis. Mereka adalah pejuang ummatan wasatan yang erat menggenggam sunnah bukannya ekstrim menurut kayu ukur sekular.
Muhammad Nuruddin Bashah
Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Kaw Gopeng
No comments:
Post a Comment