Sunday, April 21, 2013

Hamidah lebih kasar dari dulu?


Hamidah Osman kembali dalam arena politik di Dun Sg Rapat kali ini dengan penuh 'kasar'. Hari penamaan calon haritu tu pun pagi-pagi lagi dah gaduh dengan polis. Lepas tu main angkat tangan sampai tayang takat siku. Pegang dan salam tangan dengan lelaki pun dia main boh saja. Yang paling terer sekali, siap dia panjat besi pengadang polis tu untuk bersalam dengan penyokong-penyokong dia laki betina. Hebat, hebat.

Ni dah start kempen secara rasmi. Jumpa pengundi, kenduri, ceramah dan macam-macam cara lagi la depa buat.

Bab ceramah ni, satu Malaya dah tau Hamidah dah kacau berbelas kali bila PR Gopeng buat ceramah. Kempen kali ni tak tau di mai kacau lagi ka dak. Tapi, ramai jugak yang cakap, orang yang selalu mai ceramah la yang cakap, lagi Hamidah kacau, lagi syok ceramah tu, lagi ramai orang mai. Hat tu aku tak tau, lantak dia la nak kacau ka dak.

Kalau hangpa tengok betoi-betoi, macam mana cara Ustaz Radzi berkempen, lembut ja. Sopan santun. Jumpa orang pun kemain ambik berat sungguh dia bila bersembang dengan orang, sampai orang-orang dia yang ikut sekali pulak naik rimaih nunggu.

Tapi kalau Hamidah ni, cara dia kemain kasar. Tak percaya, pi la sekali-sekala tempat dia berkempen.

Ok la, malas la aku nak cerita pasai dia ni. Hangpa nak tau dia ni betoi-betoi kasar ke tak, hangpa pi tanya Hamzah dengan Tuah tu. Pasai apa nama depa tak naik, tapi nama Hamidah yang dah hilang boleh timbul balik. Tu bukan main kasar ke namanya tu?

Pak Long

Wednesday, April 17, 2013

Welcome back, Hamidah!

Sampai la ni kepala duk mamai lagi, jenuh pikiaq macam mana segala mak nenek punya risikan boleh fail dalam bab yang satu ni.

Bab mana? Bab pencalonan daripada Umno Gopeng tu la. Ada 3 nama yang betoi-betoi tough fight sampai last minit. Risikan bagitau nama Tuah yang kena. Nama Hamidah memang out terus. Sampaikan paper Sinar Harian pun publish kata Hamidah out.

Tup-tup, bila Zambry umum, nama Hamidah pulak yang lekat. Silap mata lagu mana depa main ni pun tak tau la nak habaq. Hebat sungguh kabel Rosmah ni, semua orang kena dengaq cakap dia wo.

Bukan la kata kami kecewa sebab Hamidah dapat peluang lagi bertanding lawan dengan calon kami, Ustaz Radzi tu. Kami lagi suka.

Pasai apa? Pasai kami dah kumpoi peluru untuk Hamidah ni dah lama. Peluru pun dah penuh gerabak.

Kalau kena nama Tuah yang lekat hari tu, jenuh jugak la kami nak kena order peluru baru nanti.

La ni bila Hamidah yang duk tang ni lagi, kami lega la. Lega sungguh. Bukan kami ja yang kata Hamidah ni tak boleh menang, orang Umno sendiri pun kata memang dia tak boleh menang.

Apa-apapun, biaq la kami ucapkan 'Welcome back' dulu pada Hamidah. Hang memang tera main silap mata tapi hang kena ingat, hang sekarang bukannya perang dengan kami ja tapi hang juga kena perang dengan orang-orang Umno Hamzah dan Tuah.

Blogger hang yang gila semacam jaga blog Sg Rapat Online tu pun kena beringat sama. Nak aim, aim keliling hang, jangan aim tang kami ja, pungkuk hang tu kena jaga jugak daripada serang hendap orang Umno kawan hang.

Selamat maju jaya pada Hamidah. Hang bertanding kat sini, memang kami suka. Lalalala...

Pak Long

Wednesday, April 10, 2013

Datuk Hamidah tempah banner sokong diri sendiri



Apakah makna benner ini sedangkan penamaan calon belum diadakan? Benner ini baru kelihatan di Taman Pinji Perdana.

Jentera UMNO Gopeng bekerja tanpa peduli siapa calon kerana mereka dibayar upah. Ada yang diupah pasang bendera, masak nasi, kemas bilik gerakan dan ada yang diupah memenuhkan bilik gerakan atau siri ceramah BN.

Rata-rata faham Dato' Hamzah juga mengidamkan kerusi DUN Sg Rapat. Lantaran itu dilobi ahli Pengkalan Gate untuk ditarik masuk UMNO sebagai tanda jasa beliau ada sumbangan memecah Cawangan PAS. Tetapi malang keutuhan, ukhuwah dan setiakawan ahli-ahli PAS Pengkalan Gate kian bertambah kerana peristiwa itu. Keluarnya 2 bekas ahli UMNO ke dalam UMNO menyebabkan jentera terutama anak muda mula menggila di Pengkalan Gate.

Datuk Hamidah pasti menempah benner di atas untuk menunjukkan sokongan terhadapnya. PAS Gopeng tidak perlu lakukan tindakan seperti beliau kerana takdir Allah di DUN Sungai Rapat konsensus bersetuju radzi zainonlah yang layak menerajui kerusi DUN.

Dengan nilai intelek yang tinggi, ketakwaan, nilai agama serta akhlak beliau, Radzi Zainon pasti menguasai DUN Sungai Rapat.

Muhammad Nuruddin Bashah
Unit Penerangan MTD Sungai Rapat 

Tuesday, January 22, 2013

PELAJAR ILHAM PERAK TEKAD TEKUNI ILMU MENANGKAN ISLAM




PELAJAR ILHAM PERAK TEKAD TEKUNI ILMU MENANGKAN ISLAM
Sungai Rapat- 20 Januari 2013

Kuliah pertama program Diploma Tasawur Islam bagi sesi 2013 telah diadakan di  Markaz ILHAM (Institut Latihan Kepimpinan Dan Pengkaderan Dakwah Islamiyyah) Gopeng.

Program rutin tahunan yang mensasarkan suatu bentuk pentarbiahan, pendidikan berterusan bagi kepimpinan PAS kali ini mencapai lebih 30 orang peserta termasuk peserta yang tidak dapat hadir pada kuliah kali pertama.

Jumlah peserta daripada Kawasan Gopeng  seramai 19 orang, Kawasan Kampar 4 orang, Kawasan Lumut 5 orang, Kawasan Ipoh Barat seorang, Kawasan Ipoh Timur 6 orang, Kawasan Teluk Intan seorang, Kawasan Tambun 4 Orang  dan Batu Gajah seorang peserta.

Menurut Pendaftar ILHAM Negeri Perak  YM Raja Mohd Yusuf bin Raja Abd Hamid yang juga merupakan Ketua Pemuda PAS Kawasan Gopeng, silibus pengajian Diploma Tasawur Islam ini meliputi pengajian asas ilmu islam yang diselitkan elemen pergerakan Islam (Haraki) serta dikaitkan dengan konteks politik dan senario negara semasa.

Antara sebab peserta diwajibkan terdiri daripada ahli PAS adalah kerana perbincangan dan latihan serta kerja tugasan (assignment) adalah kerja lapangan yang melibatkan kegiatan dakwah dan politik parti.
Lantaran itu kita menolak tuduhan blogger UMNO yang mengatakan pengajian ILHAM adalah pengajian kroni PAS atau pengajian syok sendiri. Jika UMNO berkemampuan, mengapa mereka tiodak mengadakan sIstem latihan dan pengajian seumpama ILHAM sedangkan UMNO telah memiliki sayap ulama’ Muda. Bukankah mereka boleh mengajar hadis-hadis kepada pemimpin UMNO?”, tegas Raja Mohd Yusuf semasa sesi taklimat Pendaftar.

Semua pelajar ILHAM ditekankan untuk mengikhlaskan hati serta berniat menuntut Ilmu untuk memenangkan Islam. Ilmu agama dan ilmu asas tauhid, ilmu fiqh, ilmu siasah syariyyah, ilmu ekonomi adalah antara ilmu yang diperlukan untuk menghasilkan petugas PAS yang bijak, bermaal sahih dan membuat keputuisna yang tepat dalam menghadapi konflik.

Pensyarah ILHAM juga menegaskan tujuan ILHAM bukan mengejar pengiktirafan atau digunakan sijil diploma untuk tujuan mencari kerja atau sebagainya. Ya diploma ini tidak diiktiraf mana-mana majikan atau institusi pekerjaan tetapi sijil diploma  ini dikeluarkan bagi menghargai usaha pelajar menekuni ilmu, menghadiri kuliah, menyiap tugasan dan menjawab soalan peperiksaan.

 Inilah cara PAS menghargai ketekunan ahlinya yang ingin menambah ilmu sekaligus menangkis tuduhan bahawa PAS jamaah yang tiada tarbiah (pendidikan).

Muhammad Nuruddin Bashah
Ketua Penerangan DPP kawasan Gopeng






Susah benarkah untuk kenali siapa Penfitnah?


Susah benarkah untuk kenali siapa Penfitnah?
Muhammad Nuruddin Bashah
Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Gopeng

Masyarakat kita terutama kaum Melayu kelihatan agak sukar mengenali siapa penfitnah siapa yang benar kerana si pengeluar fitnah kerap memberi laba dan ganjaran dunia kepada mereka.
Malah budaya membaca akhbar di kedai kopi di awal pagi berjaya mentarbiah pemikiran mereka kearah pemikiran sehala (dogmatik) bukannya lateral thinking.

Tambahan pula jenis akhbar yang disediakan oleh si tuan kedai hanya berkitar 3 akhbar lapuk yang tegar menghasilkan fitnah saban bulan, saban hari. Walaupun mereka disaman, mereka masih konsisten memproduksi fitnah semata-mata mengampu kepimpinan yang ada.

Orang melayu sedar atau tidak 17 Januari 2013 yang lalu 5 orang  Hakim Mahkamah Persekutuan telah menolak rayuan Utusan ke atas keputusan Mahkamah Rayuan sebelum ini yang memihak kepada anggota Parlimen Shah Alam, Haji Khalid Samad.

Keputusan Mahkamah Persekutuan untuk  tidak memberikan kebenaran kepada pihak Utusan untuk merayu sekaligus keputusan Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi sebelum ini dikekalkan iaitu  memerintahkan Utusan membayar kos sebanyak RM10,000-00.

Malah Mahkamah Rayuan pada 24 Mei 2012 juga telah menolak dengan kos rayuan Utusan Malaysia ke atas keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang memerintahkan Utusan membayar gantirugi RM60,000-00 kepada Ahli Parlimen Shah Alam itu.

Kenapa mereka disaman? Jika kerajaan menjustifikasikan AES, saman ekor semata-mata untuk mendisiplinkan rakyat yang engkar mematuhi peraturan, maknanya yang kena saman dilabel kerajaan sebagai pesalah, pihak yang melanggar undang-undang. Melanggar undang-undang maknakan tidak baik.

Jadi hari ini kita tahu Utusan Malaysia disaman dan mereka dilarang merayu. Bermakna mereka tidak baik dan telah membuat salah.

Apa pula kesalahan mereka?

Kesalahan Utusan adalah menyiar di muka hadapan Utusan Malaysia bertarikh 10 September 2009 artikel  bertajuk ““ZULKIFLI BIDAS ‘PAK JANGGUT’ ” dan diakui oleh Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Tuan Prasad Sandhosham Abraham pada 21 November 2011.

Rasanya tidak perlu penulis nyatakan isi artikel fitnah tersebut kerana pembaca boleh sahaja mencarinya melalui akses internet yang ada.

Utusan menfitnah berkali-kali dan mereka berkali-kali diputuskan bersalah oleh pihak Mahkamah. Ya, mahkamah sivil duniawi ciptaan manusia juga menyabit salah bagi dosa fitnah yang mereka keluarkan. Biar penulis senaraikan beberapa dosa yang Utusan lakukan sebelum ini;
1.       Pada 30 Ogos 2012 Mahkamah Tinggi Sivil Kuala Lumpur perintah  Utusan Melayu (M) Bhd bayar gantirugi kepada Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin isu berhubung pembelian nombor plat kenderaan WWW 1 oleh Sultan Johor.
2.       8 Oktober 2012- Utusan Malaysia mohon maaf kepada MP Sepputeh Teresa Kok kerana fitnah yang disiar Mingguan Malaysia 12 Oktober 2008

3.       22 Jun 2012- Mahkamah Tinggi Pulau Pinang dapati akhbar Umno, Utusan Malaysia bersalah fitnah Ketua Menteri Pulau Pinang dan diperintah bayar RM450,000 kepada Lim Guan Eng. RM200,000 adalah untuk kerosakan yang dibuat oleh akhbar itu manakala RM250,000 lagi adalah kos mahkamah. Utusan Melaysia menulis pada 12 Mac 2008 bertajuk "Tiada lagi DEB" mendakwa DAP akan menghapuskan DEB.

4.       14 Disember 2011- Mahkamah Tinggi Pulau Pinang dapati, Utusan Malaysia bersalah fitnah Ketua Menteri Pulau Pinang isu berita yang bertajuk 'Kebiadaban Guan Eng’ yang diterbitkan pada 20 Disember 2010. Utusan beri pampasan RM200,000 dan RM25,000 lagi sebagai bayaran kos. Utusan  menuduh Lim sebagai seorang ‘rasis’ dan ‘anti-Melayu’.

5.       12 Mei 2012 Utusan Malaysia mohon maaf kepada senator bebas daripada Selatan Australia Nick Xenophon yang digambarkan dalam artikel sebagai anti-Islam  Permohonan maaf dan penarikan balik berita itu disiarkan di  Utusan dan laman web berhubung artikel yang disiarkan pada 1 Mei di akhbar dan web bertajuk ‘Senator anti-Islam pantau BERSIH 3.0'.

Sifir mudah perlu kita terangkan kepada masyarakat terutama kaum Melayu bahawa saman fitnah adalah antara indikator mudah untuk mengenal hak dan batil. Sebagai contoh ramai pecacai UMNO, blogger upahan dan facebooker UMNO menggunakan kata-kata fitnah Anwar Al Juburi dan peliwat sebagai gelaran. Mereka lambakkan kata-kata ini sehingga mencipta stigma dan persepsi. Haikatnya:

Mahkamah Tinggi telah membuat keputusan dalam kes liwat II, bahawa Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim didapati tidak bersalah dan dibebaskan.  Hakim Mahkamah Tinggi Mohamad Zabidin berkata, kedua-dua bukti DNA dan oral-lisan tidak boleh sabit kesalahan. Si penyokong UMNO haprak resah dengan keputusan hakim duniawi telah menaikkan baner ‘Liwat tetap liwat’ seolah mencabar keputusan Mahkamah. Tindakan mereka cukup aib.



Sebelum itu pada 19 Jun 2012  Anwar telah  menang kes saman fitnah terhadap Nallakaruppan a/l Solaimalai berhubung kenyataan menerima wang sebanyak RM60 juta di Mahkamah Tinggi kuala Lumpur. Kalau Nalla benar kenapa pelru disaman dan disabitkan salah?

Pelik apabila orang melayu kian lupa bahawa ada seorang penfitnah besar telah meninggal dunia. Pada 18 Ogos 2005   Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur meluluskan tuntutan gantirugi sebanyak RM4.5 juta kepada Anwar  dalam saman fitnahnya terhadap penulis buku, Khalid Jefri (50 dalil mengapa Anwar tidak boleh menjadi PM). Malah tindakan  buku itu telah disebarkan kepada kesemua perwakilan dalam perhimpunan agung Umno pada bulan Mei 1998 dikritik Hakim sebagai perosak karier Anwar selepas itu.

Jadi, daripada mana sabit hukum penggunaan gelaran Al Juburi yang UMNO dan pecacai blogger mereka gunakan?

Bodohnya orang kita sehingga fakta rasuah dan pembaziran yang didedah Ketua Audit negara saban tahun dibutakan dan ditulikan daripada pengetahuan orang melayu khususnya. Akibatnya mereka seolah-olah melihat tuduhan rasuah dan penyeleweng terhadap BN yang dilontar oleh pemimpin Pakatan Rakyat sebagai tiada usul, hadis maudhu’ atau khabar palsu tanpa sanad dan rujukan. Sedangkan rujukan absah begitu mudah diakses iaitu Laporan Audit Negara yang dibayar gaji oleh kerajaan Malaysia juga!

Hal ini menjadi obligasi kita untuk menerangkan hakikat memandangkan masyarakat kita masih ada yang memerlukan ‘spoon feeding’ untuk faham sesuatu benda. Tugas anggota petugas penerangan perlu dipermantap dan diperkasa. Fakta-fakta mestilah  disusun dan Insya Allah kebenaran demi kebenaran pasti menjelma jua.

SEKITAR FAKTA-FAKTA ISU PENGGUNAAN ISTILAH ALLAH


SEKITAR FAKTA-FAKTA ISU PENGGUNAAN ISTILAH ALLAH
Disediakan oleh : Muhammad Nuruddin Bashah
Ketua Unit Penerangan MTD Sg Rapat
Pendahuluan.
Tujuan asal pengumpulan fakta ini adalah untuk tujuan mendokumentasikan kronologi dan faktor asas kepada suatu isu ikhtilaf ulama’ yang melibatkan kepentingan umat Islam dan hak umat Kristian yang telah lama menggunakan kalimah Allah. Ikhtilaf ulama’ ini perlu diperhatikan dari sudut perbahasan samaada dalam aspek fiqh nusus, fiqh waqie, dilektika dakwah, siasah syariyyah mahupun suatu tindakan sad az Zarai’e.

Beberapa titik penting yang perlu diperhalusi;
  1. Isu ini akan digunakan semaksima oleh UMNO untuk mengatakan PAS tidak menegur DAP dalam isu aqidah (terlalu liberal)
  2. Isu ini ijtihadiy malah membenar secara mutlak, melarang secara mutlak, membenar dengan syarat ianya masih dalam lingkup ijtihadiy.
  3. Ucapan Presiden, Ucapan Tuan Guru Nik Aziz dan Majlis Syura TUNTAS bahawa yang dibenarkan hanya menyebut kalimah Allah kerana berpandu dalil Ali Imran 64 dan Al Ankabut 63[1].
  4. Ucapan Presiden, Ucapan Tuan Guru Nik Aziz dan Majlis Syura TUNTAS melarang terjemahan kalimah Allah ke dalam Bahasa apa sekalipun kerana Allah adalah lafzul Jalalah yang suci.
  5. Di Negara Arab dan serata dunia Kalimah Allah telah lama digunakan. Sabah Sarawak juga menggunakan kalimah Allah dalam Gereja mereka dengan kebenaran kerajaan.
  6. KDN perlu bertanggungjawab apabila ada Injil bahasa Indonesia diimport masuk ke Malaysia walaupun UMNO mengaku membela kalimah ini daripada Bible.
  7. Umat Kristian juga perlu resah jika benar kalimah Allah digunakan secara meluas dalam Bible kerana anak mereka boleh sahaja mengenali Islam yang sebenarnya dan akhirnya meninggalkan ajaran Kristian sepertimana di Negara Arab. Mengapa hanya orang Melayu yang risau? Inilah paranoid yang dicetus oleh UMNO.
  8. Jika dilarang penggunaan kalimah Allah dalam sebutan oleh kaum bukan Islam, maka lagu-lagu kerajaan negeri melayu yang ada lafzul Jalalah sepatutnya ditukar kepada God semasa mereka menyanyikan lagu tersebut.
  9. Teguran dan penjelasan telah diberi oleh Presiden PAS terhadap Lim Guan Eng dalam Mesyuarat Pakatan Rakyat sedangkan UMNO tidak pernah menegur MCA menghina hukum Hudud dan sistem Syariah negeri Selangor.
  10. Kita tidak boleh manfikan konsep Rububiyyah yang diakui oleh semua agama. Semua agama diakui oleh Al Quran mengakui adanya tuhan yang mencipta. Mereka syirik uluhiyyah walaupun mengiktiraf Allah sebagai nama Tuhan. Secara nasnya kita dilarang menghalang mereka menyebut nama Allah. Walaupun begitu penghalangan mencetak Injil berbahasa Melayu perlu dalam konteks waqi’e Malaysia atas alasan sadd azzarai’e.

Menurut Dr Zaharuddin Abdul Rahman[2]
  1. Pandangan Syeikh Al-Qaradawi dan Wahbah Az-Zuhayli yang membenarkan Kristian menggunakan Kalimah Allah sebagai merujuk kepada Tuhan, adalah tepat tetapi fatwa mereka tidak sesuai digunakan untuk menyokong keputusan pihak yang membenarkannya di Malaysia, ini kerana hukum asal sememangnya HARUS.
  2. Jika sekiranya mudarat melebihi manfaat, adakah kerajaan selaku pemerintah berhak dan dibenarkan oleh hukum Islam untuk melarang Kristian dari menterjemahkan kalimah God kepada Allah?. Kerajaan dibenarkan menggunakan kuasa dalam hal ini. Dan peruntukkan kuasa itu sememangnya diakui di dalam undang-undang Islam.
  3.  Tiada dalil qati'e yang putus sebagai asas dan indikasi hukum bagi penganut Kristian dan bukan Islam menggunakan nama Allah bagi merujuk kepada Tuhan.
  4.  Terdapat banyak dalil Al-Quran yang bersifat zhonniyah ad-dalalah yang menunjukkan KEHARUSAN bagi penganut Kristian dan bukan Islam menggunakan Nama Allah bagi merujuk kepada Tuhan. Ia adalah pandangan majoriti ulama termasuk Syeikh Dr Yusuf Al-Qaradawi, Dr Wahbah Az-Zuhayli dan lainnya.
  5. Dato' Dr Haron Din, dalam rakaman penjelasannya memperlihatkan beliau menolak dan memberi amaran atas dasar maslahat dakwah dan bukan sangat bergantung kepada teks al-Quran dan Hadis.
  6. Tulisan Dr. Syed Tawfiq Al-Attas, yang juga jelas memperlihatkan ulasannya menolak rasional terjemahan God kepada Allah dari sudut bahasa. Selain itu, beliau juga menolak alasan Kristian yang kononnya cuba merujuk kepada Bible. Kedua-dua bantahan Dr Syed ini bukanlah ulasan dari perspektif hukum dan Aqidah Islam tetapi lebih kepada mematikan alasan Kristian.
  7. Prof Madya Dr Khadijah Hambali  dalam tulisannya membuktikan TIDAK BENARNYA dakwaan Kristian dan rasional mereka yang ingin menggunakan nama Allah kerana nama itu yang wujud di dalam kitab bible asli mereka. Beliau membawakan petikan-petikan yang membuktikan hujahnya. Di samping itu, beliau juga mengulas ketidakwajaran terjemahan God kepada Allah dari sudut bahasa dan mempertikaikan rujukan Kristian dalam hal ini. Dr Zaharudin  bersetuju dengan hujjah Dr Khadijah ini, namun perlu difahami apa yang dibawakan oleh Dr Khadijah sebenarnya lebih cenderung kepada faktor dan objektif dakwah,
  8.  Terdapat juga beberapa kumpulan ulama cenderung kepada hukum haram, namun kebanyakan hujjahnya bercampur baur antara hujjah teks al-Quran dan hujjah maslahat dan dakwah. Justeru, melalui penelitian saya, pandangan yang melarang adalah lemah jika ditinjau dari perspektif argumentasi teks Al-Quran. Namun larangan boleh dibuat atas dasar masalah dakwah yang khusus di Malaysia.
  9. Ulama tanahair terbahagi kepada dua kumpulan dalam menentukan keharusan atau pengharaman dari perspektif dakwah dan melihat situasi khas di Malaysia. Majlis Fatwa dan yang bersamanya kelihatan mengharamkan manakala PAS, PKR dan individu masih menganggapnya sebagai HARUS dengan syarat-syarat tertentu.
  10. Dr Zaharuddin  cenderung bersama Majlis Fatwa Kebangsaan walaupun tidak melihat pandangan mereka yang membenarkan dengan syarat sebagai salah kerana ia merupakan sebuah isu ijtihadi dalam menilai mudarat dan manfaat. Perbezaan telahan dalam hal ini sememangnya sukar dielakkan.

Fakta-fakta penting
  1. Di dalam kerancakan berbicara hak penggunaan nama Allah, perlu juga diteliti jangan hingga kita menidakkan rububiyyah Allah mencipta dan mentadbir golongan bukan islam. Umat Islam perlu yakin bahawa Allah juga tuhan kepada kaum bukan islam cumanya emreka engkar atau tidak mengenali Allah yang sebenarnya. Lihat perihalan di bawah;
Seorang guru menguji kefahaman anak muridnya tentang konsep ketuhanan.
Guru: Apa nama tuhan orang Islam?
Murid: Allah, cikgu..
Guru: Betul. Apa pula nama tuhan orang kristian?
Murid: Jesus atau God, cikgu.
Guru: Salah tu. Nama tuhan mereka Allah juga. Allah yg jadikan mereka dan semua makhluk dalam alam ini. Cuma mereka tak kenal Allah dan sifat2nya sebagaimana kita kenal Allah[3].
  1. Artikel 3 dalam Perlembagaan mencatatkan bahawa Islam adalah agama Persekutuan. Kedua, dilindungi orang Islam dalam konteks Artikel 11 (4). Walaupun kebebasan beragama dibenarkan tetapi dari segi umat Islam, mereka tidak boleh diganggu. Perlembagaan Persekutuan 11(4) yang memperuntukkan undang-undang Negeri dan Persekutuan bagi mengawal dan menghadkan penyebaran doktrin atau kepercayaan agama bukan Islam di kalangan orang Islam.


  1. Penerbitan majalah dalam bahasa Melayu bermula pada tahun 1821 dengan terbitnya sebuah berkala misionari, Bustanul Ariffin yang  disunting  oleh Claudius Thomsen dengan bantuan Abdullah Munsyi diterbitkan di Melaka oleh Anglo Chinese Press. Abdullah Munsyi dianggap pujangga melayu walaupun kerap membantu Kristian menterjemah Injil dan makalah misionari dalam tulisan jawi melayu. Antara mubaligh Kristian yang membantu Abdullah termasuk Claudius Thomsen, Benjamin Keasberry, John Stronach dan Thomas Beighton. Mereka menghasilkan istilah-istilah seperti kerajaan syurga (Kingdom of Heaven), mulut Allah (word of God), anak Allah (son of God) dan Bapamu yang ada di syurga (Our Father, who are in Heaven). Abdullah meninggal dunia di Makkah pada 1854, dua tahun selepas terhasilnya New Testament dalam bahasa Melayu Rumi. Dua tahun selepas kematiannya, New Testament dalam Jawi dicetak dan diedar di seluruh Semenanjung, Sumatera, Sabah dan Sarawak[4].
  2. Kerajaan BN pernah membenarkan penggunaan istilah Melayu dalam Injil Melayu[5].
    1. Datuk Seri Idris Jala -  tiada masalah, tiada ancaman sejak ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri) diwartakan pada 1982. Warta 1982 mengikut Jala digunakan dalam kes gereja Katolik. 
    2. Jala, seorang penganut Kristian dari Sarawak berkata, kerajaan membuat keputusan membenarkan pengeluaran dan penyebaran kitab Injil dalam Bahasa Malaysia di bawah warta 1982 di bawah ISA dengan secara terhad dan terkawal, di mana buku-buku tersebut mesti dicap tag “Untuk Penganut Agama Kristian Sahaja”.
    3.  Sejak 1982, dengan akta tersebut, laporan menunjukkan bahawa tiada sebarang isu atau masalah yang dihadapi dalam pelaksanaannya.  Dengan merujuk kepada fakta tersebut, kerajaan Malaysia telah bersetuju untuk menggunakan warta 1982 yang sama dalam pengeluaran kitab Injil.
    4. Merujuk kepada Akta Keselamatan Dalam Negeri yang ditandatangani Menteri Dalam Negeri ketika itu Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik dan telah digazetkan pada 22 Mac 1982, larangan terhadap kitab Injil Bahasa Malaysia dibatalkan.
    5. Dalam sepucuk surat bertarikh 19 Mei 1986, yang diserahkan kepada Ketua Setiausaha Negara, Dr Mahathir telah melampirkan satu memo daripada timbalannya yang mengatakan Bahasa Kebangsaan dibenarkan dan bukan penghalang kepada Kristian untuk menggunakannya.
  3. Kalimah “Allah” biasanya digunakan oleh masyarakat Kristian di negara jiran Indonesia dan telah digunakan selama berdekad oleh Kristian Bumiputera di Malaysia Timur yang diterjemahkan ke bahasa Melayu. Masyarakat Kristian di Malaysia terdiri daripada 9.2 peratus daripada keseluruhan 28.3 juta populasi rakyat Malaysia, dimana kebanyakkan mereka di Malaysia Timur menggunakan bahasa Melayu dan kalimah “Allah” untuk merujuk kepada tuhan mereka[6].
  4. Tuan Guru Dato Haron Din dan Tuan Guru Haji Salleh Sik Kedah pertahankan kalimah Alla. Tuan Guru Hj Salleh Musa berpendapat seperti pendapat Tuan Guru Dato Haron Din yang tidak membenarkan penggunaan Kalimah Allah kepada kristian kerana beberapa sebab ;
a)       Kristian tidak mentauhidkan Allah maka tidak Kristian hanya menggunakan kalimah "God "
b)      Bagi memelihara kalimah Allah agar tidak dicemari dan tidak dihina oleh agama lain yang
c)       tidak faham kedudukan kalimah mulia itu wajib dihormati dan tidak boleh dihina seperti dipijak , diletakkan ditempat najis atau dipijak dan sebagainya .
d)       Supaya Islam tidak dicemari , supaya menjaga agama Islam dari dipandan sama dengan agama lain contohnya jika remaja kini yang tidak mendalami agama apabila lihat kalimah Allah berada dalam masjid dan dalam masa yang sama ada dalam gereja , boleh jadi remaja yang tidak faham agama anggap agama semua sama sedangkan agama yang Allah Redha Hanya Islam.

  1. Tuan Guru Haji Hadi dengan pandangan beliau , ini pendapat beliau membenarkan agama lain menggunakan kalimah Allah tetapi bersyarat bukan seperti tuduhan UMNO dan orang yang tidak faham isu menuduh Tn Guru Hj Hadi.Tulisan beliau bertajuk  Kalimah Allah: Islam benarkan tapi jangan salah guna[7] bertarikh 8 Januari 2013;
a)      PAS pendirian yang konsisten dalam isu ini, seperti kenyataan media pada 4 Januari 2010 Presiden telah mengemukakan kertas kajian dalam seminar anjuran Institut Kefahaman Islam (IKIM) pada tahun 2010 yang telah diterbitkan sebagai buku kecil yang bertajuk: "Allah: Kalimah yang Benar, Tujuan yang Salah" pada bulan Januari 2010 yang lalu.
b)      Kalimah "Allah" adalah satu perkataan yang mengikut maksud asal bahasa al-Quran (Dia Sahaja Tuhan Yang Maha Esa), tidak boleh diterjemahkan ke dalam mana-mana bahasa secara tepat.
c)       Tidak wajar disalahgunakan oleh pihak lain terhadap masyarakat Islam sehingga menimbulkan kekeliruan.
d)      Penganut Islam berbagai bangsa tetap menyebut perkataan Allah (tanpa terjemahan) apabila menterjemah al-Quran dalam bahasa masing-masing dan ketika beribadat.
e)      Walau bagaimanapun Islam tidak menghalang penganut agama lainmenggunakan kalimah "Allah" dalam amalan mereka, walaupun tidak mencapai maksud asal bahasa al-Quran.
f)       Al-Quran menyebut penggunaan kalimah Allah oleh kalangan bukan Islam (ahli kitab) dengan penjelasannya: "Katakanlah (Wahai Muhammad): "Wahai ahli kitab, marilah kepada satu kalimah yang bersamaan antara kami dengan kamu, iaitu kita semua tidak menyembah melainkan Allah, dan kita tidak sekutukan dengannya sesuatu jua pun; dan jangan pula sebahagian dari kita mengambil akan sebahagian yang lain (para paderi, sami dan pemimpin) untuk dijadikan orang-orang yang dipuja dan didewa-dewakan selain dari Allah". kemudian jika mereka (Ahli Kitab itu) berpaling (enggan menerimanya) maka katakanlah kepada mereka: "Saksikanlah kamu bahawa sesungguhnya kami adalah orang-orang Islam." (Ali-imran: 64)
g)      PAS kesal terhadap Umno yang mewakili pihak Melayu Islam dan Barisan Nasional (BN) yang memerintah negara kerana menjadikan kalimah Allah sebagai satu isu yang dipolemikkan sebebasnya oleh pihak media arus perdana dalam kempen politik pilihan raya, tanpa peduli terhadap salah faham dan ketegangan penduduk berbagai-bagai agama dalam masyarakat majmuk.



7.            PR setuju bukan Islam guna kalimah ALLAH;
a)      Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat (PR) hari ini mencapai pendirian penggunaan kalimah ALLAH boleh digunakan oleh penganut Kristiandengan syarat ia  tidak disalahgunakan[8].
b)      Diumumkan selepas mesyuarat pemimpin tertinggi PR yang dihadiri Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang; Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
c)       Pas berpendirian konsisten seperti yang pernah dikeluarkan pada 4 Januari 2010 lalu di mana kalimah ALLAH tidak boleh diterjemahkan ke dalam mana-mana bahasa secara tepat. (istilah God tidak sama dengan Allah)
d)      Pihak-pihak gereja juga perlu menghormati prinsip ini sebagaimana orang Islam meletakkan dan memuliakan nama ALLAH.

8.            Isu kalimah ALLAH muncul semula selepas Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dalam mesej sempena sambutan Hari Krismas  mendesak agar kerajaan membenarkan kalimah ALLAH digunakan dalam kitab Bible versi Bahasa Melayu.nKenyataan Guan Eng ini mendapat kritikan keras oleh pelbagai pihak terutamanya oleh tokoh-tokoh agama dan kepimpinan Umno.

9.            Ketua Penerangan Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dilaporkan pernah mengeluarkan kenyataan bahawa terjemahan tepat bagi ‘God’ dalam kitab Bible adalah ‘Tuhan’ dalam Bahasa Melayu.

10.          Pembela desak henti kenyataan mencabar Islam.
a)      29 Disember 2012 – Pertubuhan-pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) mendesak pemimpin-pemimpin politik, baik dari pihak kerajaan ataupun pembangkang, supaya menghentikan kenyataan serta tuntutan yang tidak bertanggungjawab yang mencabar kedudukan Islam di negara ini[9].
b)      Perkara ini ditegaskan dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan oleh PEMBELA mengenai isu kalimah Allah.
c)       Pengerusi PEMBELA, Tuan Hj. Aminuddin Yahaya, tuntutan dan provokasi murahan yang bertujuan meraih keuntungan politik itu adalah sangat tidak bertanggungjawab dan  mencabar fatwa yang telah diputuskan oleh Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan dan secara tidak langsung mencabar Perlembagaan Persekutuan.

11.          NGO, umat Islam berhimpun pertahan kalimah Allah[10] (Presiden Jalur Tiga (JATI) Datuk Hasan Ali, Senator Ezam Mohd Nor, Pengerusi Gerakan Prihatin Rakyat Selangor Datuk Sohaimi Shahadan dan beberapa lagi wakil PERKASA, Pembela, Persatuan Pengguna Islam Malaysia, Majlis Belia Selangor dan Isma)
a)      200 umat Islam termasuk beberapa NGO di negeri Selangor hari ini berhimpun di Masjid Shah Alam bagi membantah penggunaan kalimah Allah dalam bible bahasa Melayu.
b)      Mempertahankan titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah yang menitahkan bahawa kalimah Allah merupakan kalimah suci khusus untuk orang Islam dan tidak boleh digunakan oleh bukan Islam sebagaimana yang telah difatwa dan diwartakan pada 18 Februari 2010.
c)       Desak agar hormati Enakmen Ugama Bukan Islam Negeri Selangor (Kawalan Pengembangan Di Kalangan Orang Islam) 1988, yang digubal selaras denganPerkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan.
d)      Seksyen 9 Enakmen ini dengan jelas melarang kalimah Allah daripada digunakan oleh orang bukan Islam di dalam apa-apa perkara yang berkaitan dengan agama mereka.

12.          Kronologi isu nama Allah[11]
a)      Pemimpin PAS tidak bercanggah dalam isu penggunaan nama Allah kerana ia semacam telah disepakati sejak isu ini berbangkit semula menjelang Krismas tahun 2012 iaitu pada 25 Disember 2012.
b)       Mereka jelas bersetuju, Islam tidak boleh menghalang penggunaan nama Allah oleh orang bukan Islam tetapi mereka tidak bersetuju nama Allah digunakan dalam Bible Bahasa Melayu sebagaimana dicadangkan oleh Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.
c)        Namun begitu, ia banyak dikelirukan oleh laporan yang kurang tepat selepas ia dibincang dengan meluas dalam media.

Lihat kronologi di bawah:-
  1. 24 Disember: Menjelang Krismas 2012, Lim Guan Eng dalam ucapannya mencadangkan agar Bible terjemahan Bahasa Malaysia dibenarkan untuk menggunakan nama Allah.
  2. Namun, Setiausaha Politik beliau, Zairil Khir Johari menjelaskan, yang dimaksudkan oleh Lim Guan Eng adalah untuk penggunaan Bible di Sabah dan Sarawak kerana ia telah lama digunakan di sana.
C.    Datuk Mustafa Ali, Setiausaha Agung PAS dalam Sinar Harian tidak bersetuju nama Allah digunakan dalam Bible Bahasa Melayu kerana ia akan kelirukan umat Islam.
D.    Dr Rani Othman, Pesuruhjaya PAS Selangor juga tidak bersetuju Bible Bahasa Melayu gunakan nama Allah. Kenyataan ini disiarkan oleh Sinar Harian.
E.    26 Disember: Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Ketua Penerangan PAS dalam kenyataan bertulisnya menegaskan nama Allah tidak tepat digunakan dalam Bible Bahasa Melayu kerana terjemahannya dari God sepatutnya Tuhan bukannya Allah. Bagaimanapun dia setuju Allah boleh digunakan Kristian dalam amalan ibadat dan gereja mereka.
F.    PAS: Ganti ‘God’ dengan 'Tuhan' elak polemik
G.   Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dalam kenyataan bertulisnya yang diedarkan selepas Mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat berkata, Islam tidak menghalang nama Allah digunakan (disebut)  bukan Islam tetapi jangan salah guna.
H.    29 Disember: Utusan melaporkan, Datuk Harun Taib, Ketua Dewan Ulama penggunaan kalimah Allah khusus untuk Islam dan seluruh umatnya sahaja.
I.     Laporan Utusan: Kalimah Allah khas untuk Islam sahaja.
J.     Namun dalam Harakahdaily selepas itu, Harun Taib menjelaskan, ia ditujukan kepada penggunaan dalam Bible Bahasa Malaysia.
K.    Laporan Harakahdaily: Kalimah Allah: Penjelasan Ketua Dewan Ulamak PAS
L.     10 Januari: FMT melaporkan Naib Ketua Dewan Ulamak, Datuk Mahfodz Mohamad dan Ketua  Pemuda, Nasrudin Tantawi bersetuju dengan kenyataan Presiden PAS.
M.  Sinar Harian melaporkan, Naib Ketua Dewan Ulamak, Datuk Mohamad Daud berkata beliau setuju bukan Islam bebas guna nama Allah tetapi tidak setuju ganti God dengan Allah dalam Bible.
N.   13 Januari: Majlis Syura Ulamak PAS memutuskan sesiapapun boleh menggunakan kalimah Allah namun kalimah itu tidak boleh diterjemahkan ke dalam mana-mana bahasa dunia kerana tidak menepati kehendak sebenar dari kalimah ini. Oleh kerana itu, menterjemah kalimah God atau Lord dari mana-mana kitab agama bukan Islam kepada perkataan Allah tidak dibolehkan kerana ianya salah dari segi makna dan salah guna, tidak menepati kehendak sebenar yang boleh membawa kekeliruan yang nyata. Oleh kerana itu ia hendaklah dicegah.[12]
O.   Kalimah Allah: Dewan Ulama, Pemuda PAS patuh keputusan Hadi[13]
a)      Dewan Ulama PAS menyeru ahli dan penyokongnya  memberikan sokongan penuh keputusan parti membenarkan orang bukan Islam menggunakan kalimah Allah sebagaimana yang diumumkan Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
b)      Naib Ketua Dewan Ulama PAS, Datuk Mahfodz Mohamad berkata, sebagai ahli parti, keputusan Presiden perlu dipatuhi.
c)       Mahfodz menegaskan ahli PAS tidak perlu gusar dengan keputusan tersebut kerana penggunaan kalimah Allah di kalangan penganut Kristian hanya terhad untuk mereka sahaja.
d)      Orang Kristian tidak boleh menggunakan kalimah itu kepada orang islam, kerana ia terhad kepada mereka sahaja.
e)       Kalimah Allah adalah alami (universal) kerana Allah Tuhan sekalian alam. Siapa pun boleh menyebut kalimah Allah seperti mana orang Arab Jahiliyah yang tidak Islam menyebut Allah lah yang menjadikan alam ini.
f)        Kalimah Allah adalah kalimah khusus yang Allah menamakan diri-Nya Allah. Kalimah itu tidak boleh diterjemahkan ke dalam mana-mana bahasa dunia kerana tidak menepati kehendak sebenar dari kalimah ini. Demikian juga tidak boleh kalimah asing hendak diterjemahkan kepada kalimah Allah.
g)      Oleh kerana itu, menterjemah kalimah God atau Lord dari mana-mana kitab agama bukan Islam kepada perkataan Allah tidak dibolehkan kerana ianya salah dari segi makna dan salah guna, tidak menepati kehendak sebenar yang boleh membawa kekeliruan yang nyata. Oleh kerana itu ia hendaklah dicegah.

13.          Kenyataan Presiden PAS:  UMNO TIDAK MAMPU TUNAI AMANAH[14].
a)      Amanah terbesar dalam Islam ialah memerintah negara, UMNO telah diberi kepercayaan sejak lebih lima puluh tahun.
b)      Islam telah diterima oleh semua kaum menjadi agama negara dengan hak yang adil kepada penganut berbagai agama dalam konsep persefahaman sempadan saling mengerti dalam perkara yang berbeza. Islam wajib diperkasakan sehingga mengatasi yang lain dengan pendekatan yang bijak dan amalan yang istiqamah dan adil terhadap semua, kerana Islam adalah rahmat kepada seluruh alam, bukan dengan paksaan dan ugutan kosong.
c)       Apabila tercetusnya isu kitab Injil diterjemahkan dalam Bahasa Melayu, dengan menterjemahkan perkataan God atau Lord atau Tuhan dengan perkataan Allah, UMNO gagal bertanggungjawab sebagai pemegang kerusi kekuasaan kerajaan.
d)      Media arus perdana kepunyaan UMNO dijadikan medan perbincangan (tempat bermuzakarah) padahal urusan kebenaran menerbit buku dan pengedarannya adalah urusan Kementerian Dalam Negeri.
e)      Dalam urusan yang berkait dengan Agama Islam, ia perlu mendapat nasihat dan kelulusan pihak berkuasa Hal Ehwal Agama Islam di bawah Jabatan Perdana Menteri atau Majlis Agama Islam di Negeri-Negeri, di mana keseluruhannya berada di bawah UMNO yang menjadi parti Melayu Islam yang memerintah. Portfolio kementerian ini di perkuatkan dengan seorang menteri di peringkat Pusat atau exco agama di peringkat negeri.
f)       Mengapa UMNO menangani isu besar ini secara membaling batu sembunyi tangan, dengan mengheret pihak yang tidak patut berbincang dalam urusan Yang Maha Besar iaitu kalimah Allah? Mengapa tidak selesaikan oleh pihak berkuasa di bawah UMNO yang memerintah?
g)      Patutkah perkara ini dijadikan bahan kempen pilihanraya sehingga menjadi berkecamuk di kalangan rakyat kerana dijadikan perbincangan melibatkan kalangan yang tidak faham?
h)      Sebagaimana dalam kenyataan media pada 8 Januari 2013 lalu, intipati perkara dua
a.       bahawa kalimah Allah yang Maha Suci dan Mulia, tidak mampu diterjemahkan ke dalam apa-apa perkataan daripada bahasa yang lain,
b.      termasuk Bahasa Arab sendiri dengan perkataan yang lain daripada perkataan Allah, kerana tidak ada satu kalimah yang sama erti dengannya.
i)        Begitulah juga perkataan Tuhan dalam Bahasa Melayu, God dan Lord dalam bahasa penganut agama Kristian paling ramai, tidak boleh diterjemahkan dengan perkataan Allah, kerana tidak mencapai maksudnya. Firman Allah menjelaskan makna Allah :
"Katakanlah (Wahai Muhammad); "(Tuhanku) ialah Allah Yang Maha Esa;" "Allah Yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat;" "Ia tiada beranak, dan ia pula tidak diperanakkan;" "Dan tidak ada sesiapapun yang serupa dengan Nya." (Ikhlas:1-4)
j)        Al-Quran juga melarang penganut Islam memaki tuhan yang dipercayai oleh penganut agama lain sehingga menimbulkan ketegangan yang menghina Allah. Firman Allah Taala:
"Dan janganlah kamu cerca benda-benda yang mereka sembah yang lain dari Allah, kerana mereka kelak, akan mencerca Allah secara melampaui batas dengan ketiadaan pengetahuan. Demikianlah Kami memperelokkan pada pandangan tiap-tiap umat akan amal perbuatan mereka, kemudian kepada Tuhan merekalah tempat kembali mereka, lalu ia menerangkan kepada mereka apa yang mereka telah lakukan." (Al Ana'am:108)

k)      Rasulullah S.A.W mengarahkan sahabatnya meletakkan ayat ini ke dalam surat yang dihantar kepada Raja Rom, Mesir dan Habsyah yang menganut agama Kristian supaya menjelaskan penggunaan kalimah oleh mereka dengan betul.
l)        Kalimah Allah diterima bersama dalam perjanjian Hudaibiyyah di antara Rasulullah S.A.W dengan pemimpin Musyrikin Makkah dengan fahaman yang berbeza terhadap kalimah Allah dan bersetuju untuk berdamai.
m)    UMNO melakukan kesilapan dan dosa besar apabila menyerahkan urusan kalimah Allah ini kepada pasukan propaganda dan saraf dalam partinya dan jentera kerajaan yang dikhadamkan (diperhambakan), maka berlakulah perbincangan yang lebih buruk daripada laksana menyerah bunga ditangan sang kera yang tidak berakal, kemudian diserahkan kepada para ilmuan, ulama dan mufti pengecut berdepan secara muzakarah, tetapi sanggup menjadi terompah kayu kepada UMNO untuk menegakkan hujah laksana mereka yang dinyatakan oleh Allah :
"Dan janganlah kamu campur adukkan yang benar itu dengan yang salah, dan kamu sembunyikan yang benar itu pula padahal kamu semua mengetahuinya." (Al Baqarah:42)

14.          8 Januari 2013 DAP menuntut supaya Ahli Majlis Tertinggi Umno, Dr Mohd Puad Zarkashi mengemukakan bukti atau menarik balik dan meminta maaf atas fitnah bahawa DAP akan mencetak 100,000 naskhah Bible Bahasa Malaysia yang menggunakan kalimah 'Allah'[15].

15.          Ahli Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan mengingatkan agar  tidak mencabar dengan keputusan Majlis Fatwa yang telah memutuskan kalimah ALLAH hanya digunakan oleh umat Islam di negara ini[16].  (Penggunaan siasah syariyyah-sadd zarai’e)
a)      Mufti Pulau Pinang, Datuk Hassan Ahmad berkata, perkara itu telah diputuskan dengan jelas oleh Muzakarah Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan tanpa perlu dipolemikkan lagi.
b)      Di Pulau Pinang, telah diwartakan kalimah ALLAH sebagai antara 40 perkataan yang tidak boleh digunakan bukan Islam. Jabatan Mufti Pulau Pinang sudah putuskan perkataan seperti ALLAH, takwa, haji, masjid contohnya hanya boleh digunakan mereka yang beragama Islam.
c)       Peraturan itu dikuatkuasakan pada zaman Pakatan Rakyat (PR) memerintah

16.          Surat pekeliling kepada gereja-gereja ahli NECF tentang penggunaan ‘Allah’ oleh orang bukan Islam[17]. (10 Januari 2013)
a)      Kenyataan akhbar Rev Dr Eu Hong Seng Pengerusi National Evangelical Christian Fellowship.
b)      NECF Malaysia -  hak kebebasan beragama bagi semua orang selaras dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan.
c)       Hak untuk menganut, mengamal dan menguruskan hal ehwal agama kita sendiri termasuk penggunaan Alkitab, yang merupakan Kitab Suci dalam Bahasa Malaysia, bahasa kebangsaan kita, serta Alkitab dalam bahasa orang asal Sabah dan Sarawak yang juga menggunakan “Allah”, baik dalam kehidupan secara umum dan pribadi termasuk dalam semua pertemuan di dalam gereja dan di rumah-rumah.
d)      Penggunaan perkataan dalam bahasa kebangsaan hanya untuk satu agama tertentu adalah bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.
e)      Pendirian NECF adalah seperti berikut:
                                                       I.             Fatwa 18 Februari 2010 yang melarang “Allah” daripada digunakan oleh mana-mana orang bukan Islam di Selangor tidak mempunyai kaitan dengan orang bukan Islam kerana ia adalah fatwa yang dibuat menurut Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) Enakmen 2003 yang berhubung dengan hal-hal pentadbiran Islam. Oleh kerana Enakmen ini berhubungkait dengan orang Islam sahaja, maka fatwa yang diwartakan ini hanya terikat kepada umat Islam sahaja.
                                                      II.            Larangan terhadap orang bukan Islam daripada menggunakan “Allah” di bawah Enakmen Agama Bukan Islam (Kawalan Penyebaran di Kalangan Islam) 1988 adalah hanya dalam konteks penyebaran agama, dan tidak meliputi hak seseorang itu untuk menganuti dan mengamalkan agamanya serta menguruskan hal ehwal kumpulan agama mereka sendiri, termasuk beribadah dan membaca Alkitab di gereja-gereja, rumah-rumah dan mana-mana tempat pertemuan umat Kristian.
f)       Penghakiman Mahkamah Tinggi 31 Dis 2009 yang mengesahkan hak perlembagaan The Herald, akhbar mingguan Katolik, untuk menggunakan “Allah”. Oleh itu, hak ini telah diiktiraf di sisi undang-undang dan masih kekal.

17.          Isu Kalimah ALLAH  DAP Perak setuju Majlis Syura PAS[18]
a)      DAP menerima bahawa Isu berkenaan kalimah ALLAH tidak harus diperbesarkan sebaliknya perlu dibuat perbincangan bagi menyelesaikannya.
b)      Pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham berkata, beliau bersetuju dengan pandangan Majlis Syura Ulama PAS bahawa kalimah ALLAH adalah universal dan sesiapa pun boleh menyebutnya.
c)       Beliau berkata, setiap agama mempercayai bahawa wujudnya satu tuhan iaitu ALLAH cuma setiap agama berbeza perspektif dalam mempercayainya.
d)      Beliau  yakin kebanyakan agama di dunia meyakini tuhan itu satu tetapi konsep ketuhanan itu sedikit berbeza.
e)      Beliau  juga bersetuju bahawa bukan Islam tidak boleh menggunakan kalimah ALLAH untuk maksud yang lain.
f)       Nge Koo Ham mengulas Keputusan Majlis Syura Ulama Pas yang memutuskan bahawa perkataan ALLAH tidak boleh digunakan di dalam kitab mana-mana agama di negara ini.
g)      Menurut Nge Koo Ham perkataan ALLAH itu sebenarnya diterjemah daripada bahasa Arab bukan bahasa Inggeris seperti di dalam Bible sekarang ini.

18.          15 Januari 2013- Pengarah Eksekutif Pusat Penyelidikan PAS Dr Dzulkefly Ahmad - keputusan Majlis Syura paling tepat (arjah) untuk masa dan realiti setempat di Malaysia. Keputusan ini jame' dan mani' (sempurna dan tepat), tidak memberat-berat (la ifradh) dan tidak meringan-ringan (la tafridh) dalam mahfumnya dalam mengambil kemaslahatan dakwah secara menyeluruh. Berbeza dengan Mufti Umno yang mengeluarkan kenyataan, boleh menjadi kafir dan murtad jika benarkan orang bukan Islam guna nama Allah[19].




[1] .     Firman Allah surah al-Ankabut ayat 63 :
 وَلَئِن سَأَلْتَهُم مَّن نَّزَّلَ مِنَ السَّمَاء مَاء فَأَحْيَا بِهِ الْأَرْضَ مِن بَعْدِ مَوْتِهَا لَيَقُولُنَّ اللَّهُ قُلِ الْحَمْدُ لِلَّهِ بَلْ أَكْثَرُهُمْ لَا يَعْقِلُونَ 
Ertinya : Dan sesungguhnya jika kamu menanyakan kepada mereka: ""Siapakah yang menurunkan air dari langit lalu menghidupkan dengan air itu bumi sesudah matinya?"" Tentu mereka akan menjawab: ""Allah"". Katakanlah: ""Segala puji bagi Allah"", tetapi kebanyakan mereka tidak memahami (nya)
Imam Fakhruddin Ar-Razi berkata ketika mengulas ayat dari surah Yunus dan Ankabut ini :
   
هذا يدل على أن المخاطبين بهذا الكلام كانوا يعرفون الله ويقرون به
Ertinya : Ini menunjukkan mereka yang  ditujukan pertanyaan dan kata-kata ini ( iaitu puak kafir musryik), mereka telah pun sentiasa mengetahui tentang Allah dan sentiasa mengiktirafNya (sebagai tuhan). (Rujuk Tafsir Al-Kabir, 17/86)

Lagu Jihad


MusicPlaylistView Profile
Create a playlist at MixPod.com
Renungan : "Jika kamu menolong (agama) Allah, nescaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu" ~Surah Muhammad, ayat 7