KUALA LUMPUR, 30 Dis (Hrkh) - Timbalan Presiden KeADILan Dr Syed Husin Ali mengingatkan pemimpin-pemimpin KeADILan dan Pakatan Rakyat supaya tidak membuat kenyataan terbuka mengenai perbezaan pendapat dan perbalahan melalui media terutama yang dikuasai parti pemerintah. "Saya menggesa dan merayu kepada semua pemimpin Pakatan agar berhenti mengemukakan perbezaan serta pertentangan mereka melalui media terutama yang dikuasai parti pemerintah BN," kata dalam satu kenyataan yang dipetik daripada Suara Keadilan.
Kenyataan itu dikeluarkan disaat media-media BN memperbesarkan laporan mengenai kenyataan Ahli Parlimen Kapar S. Manikavasagam yang menyatakan akan keluar parti serta kenyataan balas oleh Menteri Besar Selangor Khalid Ibrahim.
Begitu juga dengan laporan mengenai perbezaan pendapat antara Ahli Parlimen Kelang Charles Santiago dengan Speaker Selangor Teng Chang Khim.
Menurut Syed Husin, masalah ancaman MP Kapar hendak keluar dari KeADILan sudah terlalu dibesar-besarkan oleh sesetengah media yang dikuasai oleh parti pemerintah.
Mereka menyelewengkan sesetengah kenyataan pemimpin Pakatan untuk menunjukkan gabungan itu berpecah.
Memang jelas, tujuan mereka (media-media ini) ialah untuk menarik perhatian awam dari kemelut dalam BN dan juga parti-parti komponen utamanya, terutama menjelang pilihanraya kecil Kuala Terengganu, tambah beliau.
Menurut Syed Husin lagi, pemimpin-pemimpin berkenaan sebaliknya harus duduk berbincang dan mencari jalan penyelesaian secara dalaman malah ada beberapa saluran dan prosedur bagi berbuat demikian.
Sehubungan itu, tambah beliau mesyuarat Biro Politik-badan tertinggi penentu dasar politik KeADILan akan diadakan pada 31 Disember ini untuk membincang semua perkara berkaitan dan mencari penyelesaian.
Ia akan dipengerusikan oleh Syed Husin sendiri memandangkan Presiden Dr Wan Azizah Ismail dan Penasihat KeADILan Dato' seri Anwar Ibrahim berada di luar negara sehingga 6 Januari depan.
No comments:
Post a Comment